BARU sahaja menerima penganugerahan Pingat Jasa Baik (PJB) dari Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, pelakon Fasha Sandha, 41, menegaskan tidak pernah mengimpikan gelaran ‘Datuk’.
Baginya status ‘Datuk’ hanya menuntut tanggungjawab yang besar dan berat untuk dipikul.
Menurut Fasha soal pangkat dan darjat tidak pernah bermain di fikirannya, justeru dia lebih selesa dengan kehidupannya kini tanpa sebarang gelaran kehormat.
“Sejujurnya saya tidak pernah memikirkan mengenai pangkat atau gelaran ‘Datuk’.
“Bagi saya, memikul gelaran itu menuntut tanggungjawab yang sangat besar dan berat,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai penganugerahan PJB yang diterima, pelakon drama Rampas Cintaku itu mengakui terkejut dan terharu dipilih sebagai penerima sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-82.
“Walaupun dilahirkan di Johor Bahru tetapi saya membesar di Perlis. Mungkin kerana saya kerap berkongsi mengenai keindahan Perlis di media sosial.
“Kalau dikatakan anugerah ini diberikan kerana pencapaian saya dalam bidang seni, saya tak berani komen kerana takut dituduh riak,” jelasnya.
Biarpun tidak mengimpikan pangkat, Fasha menegaskan anugerah PJB itu langsung tidak membebankannya, malah disifatkan sebagai satu penghargaan dan rezeki yang tidak dijangka.
“Syukur, ini rezeki yang tidak disangka dan saya anggap sebagai rezeki perkahwinan serta anak-anak.
“Saya bersyukur kerana jarang sekali anugerah sebegini diberikan oleh pihak istana, jadi perkara ini memang tidak pernah dijangka. Ini adalah kurniaan paling tinggi pernah saya terima,” katanya.
Tambah Fasha pengiktirafan itu menyuntik semangatnya untuk menjadi insan yang lebih baik dan lebih aktif mempromosikan Perlis, namun menolak tanggapan bahawa beliau kini sudah layak diangkat sebagai ikon.
“Saya masih banyak kelemahan berbanding kelebihan. Ramai lagi yang lebih berkelayakan,” katanya. – WILAYAHKU