Agama

Mencarut tanda rendah akhlak

MENCARUT termasuk melalui media sosial dilihat sebagai lambang kehinaan.
- Diterbit 4 Julai 2025 6:04 PM MYT

DALAM arus kemajuan teknologi dan keterbukaan media sosial masa kini, semakin ramai individu tanpa segan silu melontarkan kata-kata kesat, maki hamun dan carutan secara terbuka, seolah-olah tidak lagi mengenal batas sopan santun dan nilai budaya tinggi.

Budaya mencarut yang dahulu dianggap jijik dan memalukan, kini seakan-akan normal, malah disanjung oleh sesetengah golongan sebagai lambang keberanian, ‘kejantanan’ atau cara menzahirkan rasa tidak puas hati. Malangnya, kelakuan ini hanya mencerminkan hakikat bahawa runtuhnya akhlak dan akal budi.

Menurut pendakwah bebas, Mohd Sanawi Sanusi, budaya mencarut ini bukan sahaja bertentangan dengan nilai murni masyarakat timur, malah jelas bercanggah dengan ajaran Islam yang sangat menekankan akhlak dan kelembutan lidah.

“Rasulullah SAW adalah sebaik-baik contoh dalam akhlak. Baginda tidak pernah mencarut atau mencela walau terhadap musuh. Apatah lagi kepada umat baginda sendiri. Mencarut ini bukan tanda berani, ia tanda kosongnya akal dan hilangnya maruah,” katanya kepada Wilayahku.

MOHD SANAWI

Mohd Sanawi berkata sejarah mencatatkan bahawa Rasulullah SAW adalah insan yang paling mulia tutur katanya malah ketika menghadapi cabaran, provokasi dan hinaan daripada musuh, baginda tetap tenang, sabar dan memilih untuk memaafkan serta berdoa.

“Salah satu contoh paling masyhur ialah ketika baginda berdakwah di Taif, penduduk di sana bukan sahaja menolak ajaran Islam, malah melemparkan batu hingga tubuh baginda berdarah. Ketika itu, malaikat Jibril menawarkan untuk membalas perbuatan mereka dengan menggoncangkan dua bukit yang mengapit kota itu. Namun, apa jawapan Rasulullah SAW?

“Jangan. Aku berharap daripada zuriat mereka akan lahir generasi yang beriman kepada Allah.

“Ini adalah kemuncak akhlak terpuji, baginda tidak membalas kezaliman dengan kekerasan, apatah lagi mencarut. Baginda memilih doa, kasih sayang dan harapan,” kata beliau.

Mohd Sanawi menambah dalam satu hadis riwayat At-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: “Seorang mukmin itu bukanlah seorang yang suka mencela, suka melaknat, suka berperilaku keji dan suka bercakap kasar”.

Kata beliau hadis ini sangat penting dalam membentuk jati diri masyarakat, khususnya dalam era digital berikutan lidah dan kini jari-jemari yang menguasai papan kekunci di media sosial mencerminkan hati.

“Jika yang keluar dari mulut atau papan kekunci adalah celaan dan makian, maka itulah isi sebenar hati dan keperibadian seseorang,” katanya.

Menurut Mohd Sanawi fenomena masyarakat memuja kelakuan mencarut sebagai tanda keberanian atau ‘real’ adalah satu bentuk penyimpangan nilai yang amat dikesali kerana budaya tersebut bukan sahaja menyimpang dengan Islam, malah bertentangan dengan adat ketimuran yang mengangkat kesopanan sebagai ciri utama seorang insan mulia.

“Siapa mahu mengambil orang seperti ini sebagai menantu? Jika mencarut sudah menjadi kebiasaan, bermakna dia tidak lagi merasa malu. Bila tiada malu, maka tiadalah iman,” tegasnya.

Beliau turut menyebut hadis Nabi SAW yang diriwayatkan Al-Bukhari: “Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah sesuka hatimu”.

Menurut para ulama, hadis ini adalah satu sindiran tajam, bukan galakan. Ia bermaksud apabila seseorang sudah tidak lagi punya rasa malu, maka semua perbuatan buruk akan menjadi biasa – termasuk mencarut, menipu, menfitnah dan mencaci.

Dalam konteks kekeluargaan dan pendidikan generasi, budaya mencarut juga memberi kesan buruk yang mendalam. Kanak-kanak dan remaja yang melihat perbuatan ini disebarkan tanpa batas, akan menganggapnya sebagai sesuatu yang lumrah. Akhirnya, terbentuklah masyarakat yang kasar lidah, keras hati dan jauh daripada rahmat Ilahi.

Mohd Sanawi turut memberi peringatan kepada golongan muda agar tidak menjadikan media sosial sebagai pentas meluah amarah dan carutan tanpa kawalan.

“Bayangkan suatu hari nanti, anak anda sendiri mencarut depan anda. Masihkah anda mahu mendakwa perbuatan ini tidak salah? Sebelum kita dihina anak-anak kita sendiri, hentikan budaya keji ini dari sekarang,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Islam tidak melarang menyatakan pendapat atau menegur sesuatu yang salah. Namun, ia harus dilakukan dengan adab dan hikmah.

“Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam hal ini sentiasa berlemah lembut, walau terhadap penentang yang paling keras.

“Kita bukanlah terlalu baik, tetapi kita boleh memilih untuk menjaga maruah dan harga diri. Mencarut bukan lambang keberanian, ia lambang kehinaan. Kalau tidak malu, maka hancurlah nilai agama dan masyarakat kita,” katanya. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas