KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperkasa pendekatan penguatkuasaan strategik melalui jalinan kerjasama kukuh bersama pelbagai agensi penguatkuasaan sekali gus membuktikan keupayaan model pentadbiran rentas kementerian dalam membanteras penyelewengan dan ketirisan barang kawalan bersubsidi.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sehingga 31 Mei 2025, sebanyak 2,811 kes telah diserahkan kepada KPDN oleh agensi penguatkuasaan rakan strategik, dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan mencecah hampir RM200 juta iaitu RM199,958,733.95.
“Antara agensi yang paling aktif dalam penyerahan kes ialah Pasukan Gerakan Am (1,146 kes), Pasukan Polis Marin (866 kes), Polis Diraja Malaysia (661 kes) dan Angkatan Tentera Malaysia (69 kes).
“Kolaborasi rentas agensi ini merupakan tonggak penting dalam operasi berfokus, pemerkasaan risikan, serta mempercepatkan proses siasatan. Pendekatan ini bukan sahaja menjamin kecekapan siasatan kes, malah memperkukuh perlindungan hak pengguna secara menyeluruh,” katanya dalam Majlis Apresiasi Rakan Strategik Penguatkuasaan sempena sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke-53.
Tegasnya, langkah ini selaras dengan teras pemacu Anjakan Fokus KPDN 2025 melalui pendekatan K.I.T.A. yang menekankan empat prinsip utama iaitu Keterangkuman, Integriti, Tindakan Tuntas dan Akauntabiliti yang sekali gus memperkukuh semangat whole-of-government dan whole-of-nation dalam memastikan gerak kerja penguatkuasaan menjadi lebih tangkas, telus dan menyeluruh.
Kata beliau, daripada jumlah keseluruhan kes yang direkodkan, sebanyak 335 kes adalah dari Januari hingga Mei 2025, menunjukkan peningkatan konsisten setiap tahun sejak 2021
“Sebanyak 250 kes (2021), 615 kes (2022), 790 kes (2023), dan 822 kes (2024) dan semua ini membuktikan hasil positif daripada strategi kerjasama rentas agensi yang dilaksanakan secara berstruktur dan berimpak tinggi,”katanya.
Menurut Armizan, KPDN juga memperkukuh agenda K.I.T.A. GEMPUR (Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan) sebagai misi bersepadu membanteras penyeludupan, manipulasi bekalan, dan salah guna subsidi yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
“Sebagai kementerian yang memikul tanggungjawab terhadap 13 Akta utama, keberkesanan pelaksanaan undang-undang ini bergantung kepada kekuatan kerjasama dengan semua pemegang taruh. Inilah wajah baharu penguatkuasaan bersepadu yang bukan sahaja menjamin perdagangan progresif, tetapi juga keadilan kepada pengguna,” tegas beliau.
Majlis Apresiasi Rakan Strategik itu turut menjadi simbol penghargaan terhadap komitmen agensi-agensi penguat kuasa yang bersama-sama KPDN memerangi jenayah ekonomi secara lebih proaktif, responsif dan sistematik.
Ujar beliau, Kerajaan MADANI komited untuk terus memperluas jalinan strategik ini, memperkukuh kecekapan lapangan serta mengarusperdanakan usaha penguatkuasaan sebagai tunjang ketelusan dalam tadbir urus negara.-WILAYAHKU