KERAJAAN MADANI kekal komited menjunjung prinsip demokrasi dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dengan memastikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman dipelihara dan dilindungi, selaras semangat reformasi yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sejak tahun 2023, lebih 10,000 perhimpunan telah berlangsung di seluruh negara dengan 98 peratus daripadanya berjalan tanpa sebarang sekatan.
“Malah, angka itu meningkat pada tahun 2024 apabila lebih 7,000 perhimpunan direkodkan dan 99 peratus daripadanya berlangsung secara aman dan teratur.
“Data ini menunjukkan tahap kematangan rakyat Malaysia yang semakin tinggi dalam melaksanakan hak berhimpun secara aman dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, isu kebebasan berhimpun telah diberi perhatian serius oleh Perdana Menteri yang juga peneraju utama agenda reformasi negara.
“Ini terbukti apabila Kabinet pada tahun lalu memutuskan untuk melaksanakan moratorium terhadap sebarang pendakwaan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012, sebagai langkah awal ke arah pembaharuan menyeluruh terhadap undang-undang berkaitan hak berhimpun, ” katanya.
Menurut Saifuddin, selaras dengan komitmen reformasi itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membentangkan pindaan terhadap Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman dalam sidang Parlimen akan datang.
“Is bagi memastikan peruntukan undang-undang sedia ada lebih selaras dengan semangat Perlembagaan dan kehendak rakyat, ” katanya.
Merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta berkenaan sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan, Saifuddin menegaskan bahawa kementerian mengambil maklum dengan penuh hormat dan akan meneliti implikasi keputusan itu secara menyeluruh.
“KDN akan mempertimbangkan cadangan pindaan kepada peruntukan yang terkesan agar ia selari dengan keputusan mahkamah tertinggi negara serta kehendak Perlembagaan,” tegasnya.
Tambah beliau, Kerajaan MADANI akan terus menegakkan keseimbangan antara kebebasan individu untuk berhimpun dan keperluan mengekalkan ketenteraman serta keselamatan awam.
“Adalah menjadi keutamaan kerajaan untuk memastikan setiap hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan dapat dilaksanakan dalam suasana aman, teratur dan bertanggungjawab,” katanya.
Saifuddin menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah takut kepada suara rakyat, sebaliknya menghormati ruang demokrasi selagi ia dilaksanakan dengan niat yang bersih, tidak melampau dan tidak mencetuskan ketegangan awam.
“Kerajaan MADANI bukan hanya menghormati hak rakyat, malah mengukuhkan hak tersebut dengan reformasi dasar dan undang-undang. Inilah wajah Malaysia baharu yang kita bina bersama,” ujarnya lagi.-WILAYAHKU