SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terhadap seorang individu berhubung kandungan jelik berunsur perkauman yang dimuat naik di platform media sosial miliknya baru-baru ini.
Menurut kenyataan MCMC, kandungan tersebut dipercayai menyentuh pelantikan Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baharu, dengan naratif yang berpotensi mencetuskan provokasi dan menggugat perpaduan serta keharmonian negara.
“Individu berkenaan telah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan. MCMC turut menyita satu unit telefon bimbit dan satu unit kad SIM sebagai bahan bukti bagi melengkapkan siasatan,” menurut kenyataan itu.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
MCMC turut mengingatkan orang ramai agar tidak memuat naik, berkongsi, atau menyebarkan kandungan yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja (3R), khususnya yang berpotensi menjejaskan perpaduan dan keharmonian masyarakat.
“MCMC kekal komited memastikan ruang siber negara kekal selamat, sejahtera dan dihormati, selaras dengan usaha memperkukuh perpaduan nasional serta keharmonian antara rakyat pelbagai kaum di Malaysia,” tambah kenyataan itu. – WILAYAHKU