Berita

SPRM dapatkan bantuan AS bagi pemfailan kes aset Tun Daim

Foto: BERNAMA
- Diterbit 1 Julai 2025 5:24 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bekerjasama dengan agensi di Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan bantuan bagi pemfailan kes terhadap aset-aset kepunyaan Allahyarham Tun Daim Zainuddin.

Menurut Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, ia turut meliputi aset-aset kepunyaan isteri Allahyarham iaitu Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan proksinya di negara tersebut.

Seperkara lain katanya, SPRM pada 25 Mei lalu telah memohon untuk Lucut Hak Tanpa Pendakwaan Menara Ilham di bawah Seksyen 56 AMLATFPUAA 2001 dan telah dibenarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib.

“Pada tarikh yang sama, proses pemfailan kes baharu Permohonan Lucut Hak Menara Ilham di bawah Seksyen 56 AMLATFPUAA 2001 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga telah diluluskan,” jelasnya dalam kenyataan.

Susulan itu katanya, pendengaran dan sebutan kes permohonan Lucut Hak Menara Ilham di bawah Seksyen 56 AMLATFPUAA 2001 telah ditetapkan pada 6 Ogos ini, pukul 9 pagi oleh Pendaftar Kanan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Neethiya Nair a/p Vijaya Kumar.

Baru-baru ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu pihaknya telah melaksanakan arahan pembekuan ke atas aset milik Allahyarham di luar negara.

Beliau berkata, pihak berkuasa di United Kingdom (UK) telah melaksanakan pembekuan aset milik bekas Menteri Kewangan tersebut di negara itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas