PELUASAN Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa hari ini mampu mengukuhkan penampan fiskal kerajaan.
Tegas Pakar Ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, ia penting ketika negara malah dunia berdepan ketidaktentuan global yang semakin membimbangkan, terutama konflik di Asia Barat, perang perdagangan selain perubahan dasar oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Seperkara penting jelasnya SST boleh dibangunkan menjadi sistem cukai yang lebih baik berbanding pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
“Peluasan SST ini adalah untuk meningkatkan hasil bagi membantu mengurangkan defisit belanjawan negara.
“SST ini secara umumnya lebih diterima rakyat kerana tidak menjejaskan pengguna secara langsung dengan sasaran utamanya ialah barangan import dan sektor pembuatan,” katanya.
Beliau menambah kerajaan menjangka kutipan SST mencecah RM52 bilion tahun ini, lonjakan besar daripada RM29 bilion yang dikutip pada tahun pertama, malah lebih tinggi daripada kemuncak RM42 bilion kutipan GST.
“Jika dapat kumpul RM52 bilion, maka mereka boleh buktikan SST lebih bagus daripada GST.
“Saya percaya SST boleh dibangunkan menjadi sistem cukai yang lebih baik daripada GST,” katanya.
Barangan pilihan tertentu seperti king crab, salmon, kod, cendawan truffle, buah-buahan import, essential oil, kain sutera dan jentera industri akan dikenakan cukai jualan sebanyak 5.0 peratus berkuatkuasa 1 Julai 2025, menurut Kementerian Kewangan.
Ia susulan pelaksanaan semakan dan perluasan skop SST yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian bagi menambah baik mutu jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan rakyat terbanyak.
Menurut Kementerian Kewangan, beberapa barangan pilihan premium dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus seperti basikal lumba dan lukisan tangan antik.
Sementara barangan keperluan asas harian berkadar sifar peratus kekal bagi ayam, lembu, kambing, ikan, udang, sotong, sayuran, buah-buahan tempatan, beras, barli, oat, gandum, tepung, sardin tin, gula, garam, roti putih, pasta, bihun, mi, mi segera, susu, minyak masak, ubat, peranti perubatan, buku, jurnal, surat khabar dan makanan peliharaan. – WILAYAHKU