PELAKSANAAN peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa 1 Julai terus menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat.
Di tengah kebimbangan mengenai potensi kenaikan kos sara hidup, pelbagai pihak tampil menyuarakan pandangan agar kerajaan mengambil pendekatan yang seimbang dan berhemah.

Walaupun begitu, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian Dewan Rakyat, Cha Kee Chin menzahirkan keyakinan kerajaan akan meneliti setiap aspek secara mendalam sebelum melaksanakan sebarang dasar yang boleh memberi kesan langsung kepada orang ramai.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah menekankan pentingnya kebijaksanaan dalam mengimbangi keperluan fiskal negara dengan kebajikan rakyat.
“Saya percaya kerajaan akan mengambil kira semua pandangan dan meneliti setiap aspek yang berkaitan, dalam proses peluasan SST agar rakyat tidak terkesan.
“Banyak pandangan daripada segenap lapisan masyarakat yang mewakili segmen yang berlainan dalam komuniti juga telah mengemukakan pandangan masing-masing,” katanya kepada Wilayahku.
Beliau menegaskan cabaran utama kerajaan pada masa ini adalah untuk mencari titik pertemuan yang adil antara dua kepentingan besar.
“Kerajaan perlu seimbangkan antara fiskal kewangan negara dan kepentingan rakyat.
“Pada masa sama memikirkan cara pengukuhan hasil negara tanpa membebankan rakyat yang terpaksa berdepan dengan tekanan ekonomi sedia ada,” katanya.
Peluasan skop SST menyaksikan pengenalan cukai ke atas perkhidmatan yang sebelum ini tidak dikenakan cukai iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Pada masa yang sama, kadar cukai perkhidmatan juga dinaikkan daripada enam peratus (%) kepada lapan peratus untuk kebanyakan perkhidmatan, kecuali beberapa kategori penting seperti makanan dan minuman, telekomunikasi, serta perkhidmatan parkir kenderaan.
Langkah ini diambil kerajaan sebagai sebahagian daripada usaha reformasi fiskal untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara dan meluaskan asas hasil.
Dengan cara ini, kerajaan dapat mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak dan pada masa yang sama memastikan dana yang mencukupi untuk perbelanjaan pembangunan dan program rakyat.
Walau bagaimanapun, kebimbangan utama di peringkat akar umbi adalah kesan domino daripada peluasan cukai ini, terutamanya dalam sektor logistik.
Peluasan skop SST juga dibimbangi memberi kesan kepada pengguna akhir melalui kenaikan harga barang, sekali gus memberi tekanan tambahan kepada kos sara hidup.
Menyentuh perkara itu, Cha Kee Chin sekali lagi menyuarakan harapannya agar suara rakyat diberi pertimbangan utama.
“Saya berharap kerajaan dapat memberikan pertimbangan yang sewajarnya terhadap keperluan dan keadaan sebenar rakyat terutamanya dari segi kos sara hidup,” katanya.
Kerajaan sebelum ini memberi jaminan kesan inflasi daripada peluasan SST ini adalah minimal dan tidak akan menjejaskan barangan serta perkhidmatan keperluan asas.
Langkah-langkah pengecualian bagi perkhidmatan kritikal dilihat sebagai usaha untuk melindungi golongan berpendapatan rendah dan sederhana daripada impak yang ketara.
Kini, tumpuan terarah kepada bagaimana pihak berkuasa akan memantau pelaksanaan dasar ini bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga secara tidak munasabah.
Penguatkuasaan yang tegas dan pemantauan berterusan adalah kunci untuk memastikan matlamat fiskal kerajaan tercapai tanpa mengorbankan kesejahteraan rakyat. – WILAYAHKU