SISTEM percukaian yang efisien bukan sahaja memudahkan pematuhan oleh peniaga, malah mampu mengurangkan beban pentadbiran kerajaan.
Mengulas lanjut tentang perkara tersebut, Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Farah Roslan berkata Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lebih mudah dilaksanakan berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
“SST lebih mudah dilaksanakan kerana ia bersifat satu lapisan (single-tier) yang hanya dikenakan di peringkat pengilang atau ke atas perkhidmatan tertentu sementara GST lebih kompleks dan melibatkan tuntutan input tax pada setiap peringkat.

“Secara ringkas, SST kekal sebagai sistem cukai yang lebih mesra rakyat, mudah dikendalikan dan masih mampu membantu kerajaan meningkatkan hasil negara tanpa membebankan semua lapisan masyarakat,” jelas beliau kepada Wilayahku.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Felo Bersekutu di Pusat Kewangan Sosial Islam berkata dari sudut kutipan hasil, sistem GST terbukti mampu menjana pendapatan negara yang lebih tinggi berbanding SST. Ini kerana GST dikenakan di setiap peringkat rantaian pengeluaran dan pengedaran, menjadikannya lebih menyeluruh dalam aspek pungutan cukai.
“Berdasarkan angka rasmi Kementerian Kewangan (MoF), kutipan GST dari April 2015 hingga Mei 2018 berjumlah RM184.8 bilion, manakala kutipan SST dari September 2018 hingga akhir 2023 adalah sekitar RM150.4 bilion, walaupun dilaksanakan dalam tempoh masa yang lebih panjang.
“Walau bagaimanapun, kerajaan memilih untuk mengekalkan SST buat masa ini atas pertimbangan kesejahteraan rakyat. Struktur SST yang lebih ringkas dan tidak melibatkan banyak barangan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan pengangkutan awam menjadikannya lebih mesra pengguna, terutamanya bagi isi rumah berpendapatan rendah dan peniaga kecil.
“Meskipun kutipan hasil di bawah SST tidak setinggi GST, ia masih relevan dalam konteks ekonomi semasa yang memerlukan pendekatan cukai yang lebih bersasar, adil, dan tidak membebankan rakyat secara menyeluruh,” katanya.
Mengulas lanjut berkenaan struktur SST, beliau berkata struktur SST di Malaysia merupakan satu bentuk cukai tidak langsung, yang bermaksud cukai ini dikenakan bukan secara terus kepada pendapatan individu, tetapi melalui perbelanjaan ke atas barangan dan perkhidmatan.
“SST terbahagi kepada dua komponen utama, iaitu Cukai Jualan (Sales Tax) dan Cukai Perkhidmatan (Service Tax), dan masing-masing dikenakan di peringkat tertentu dalam sistem ekonomi.
“Cukai Jualan dikenakan ke atas barangan bercukai yang dihasilkan oleh pengilang tempatan atau diimport dari luar negara. Kadar cukai biasanya adalah 5 peratus (%) atau 10%, bergantung kepada jenis barangan. Ia dikenakan sekali sahaja di peringkat pengilang atau pengimport, dan kosnya kemudiannya akan dimasukkan dalam harga jualan kepada pengguna.
“Cukai Perkhidmatan pula dikenakan pada kadar 6 hingga 8% ke atas perkhidmatan tertentu yang disenaraikan oleh kerajaan. Bermula 1 Julai 2025, skop perkhidmatan yang dikenakan cukai ini diperluas kepada perkhidmatan seperti pembinaan, pendidikan swasta, kesihatan swasta dan kecantikan. Cukai ini dikenakan secara langsung kepada pelanggan dan biasanya dipaparkan pada resit pembelian,” katanya.
Katanya SST hanya dikenakan kepada perniagaan yang mencapai ambang pendapatan tahunan tertentu, misalnya RM500,000 untuk kebanyakan perkhidmatan. Ini bertujuan untuk mengurangkan beban cukai ke atas perniagaan kecil dan mikro.
“Secara keseluruhannya, struktur SST direka untuk lebih mudah dari segi pelaksanaan dan pematuhan berbanding sistem GST yang lebih kompleks. Namun begitu, tanpa sistem tuntutan semula cukai input seperti dalam GST, struktur SST lebih terdedah kepada isu cascading tax (cukai atas cukai), yang boleh memberi kesan kepada kos dalam rantaian bekalan. Untuk mengurangkan beban kepada pengguna, kerajaan turut menyenaraikan pelbagai barangan asas sebagai dikecualikan cukai.
“Struktur ini mencerminkan pendekatan kerajaan yang bersifat bersasar mengenakan cukai ke atas barangan dan perkhidmatan yang dianggap bukan keperluan asas, sambil melindungi pengguna daripada beban berlebihan dalam perbelanjaan harian,” katanya.
Jelasnya bermula 1 Julai ini, skop SST diperluas merangkumi barangan bukan asas seperti buah premium, fabrik premium, minuman beralkohol dan basikal prestasi tinggi (cukai jualan 5 -10%) serta beberapa perkhidmatan baharu termasuk pembinaan, pendidikan swasta, kesihatan swasta dan kecantikan (cukai perkhidmatan 6-8%).
“Peluasan ini berpotensi menaikkan harga barangan tertentu, namun kerajaan mengekalkan pengecualian terhadap banyak barangan asas seperti beras, gula, susu, ubat dan juga makanan seperti oat dan daging. Ini penting untuk memastikan kos sara hidup rakyat, terutama golongan B40 dan M40, tidak terbeban secara keseluruhan.
“Pelaksanaan SST memberi kesan yang berbeza terhadap harga dan inflasi bergantung kepada jenis barangan serta struktur kos dalam rantaian bekalan. Dalam jangka pendek, peluasan skop SST yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 boleh menyebabkan peningkatan harga bagi barangan dan perkhidmatan yang baharu dikenakan cukai.
“Kesan ini dikenali sebagai inflasi tolakan kos (cost-push inflation), apabila peniaga memindahkan beban cukai kepada pengguna akhir. Namun begitu, kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan mengecualikan barangan asas seperti makanan harian, ubat-ubatan, dan bahan binaan asas daripada dikenakan cukai. Langkah ini bertujuan untuk memelihara kuasa beli rakyat dan tekanan terhadap kos sara hidup khususnya golongan B40 dan M40,” katanya. – WILAYAHKU