Agama

Roh kepimpinan berpaksi keadilan

ISLAM menentang ketidakadilan sebaliknya memelihara kemanusiaan dan mengangkat martabat rakyat.
- Diterbit 29 Jun 2025 3:47 PM MYT

KONSEP syura dalam pemerintahan Islam bukan sekadar ritual atau simbol kosong, tetapi merupakan sistem semak dan imbang yang sebenar dan telah terbukti berfungsi sejak zaman Rasulullah SAW sebagai mekanisme mencegah kezaliman dan memperkukuh keadilan.

Menurut Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Siti Sarah Izham, sejarah Rasulullah SAW bukan sahaja mencerminkan kemuliaan sebagai seorang nabi dan rasul, tetapi juga membuktikan model pemerintahan yang terbuka kepada teguran, berpaksikan wahyu, syura dan prinsip keadilan menyeluruh.

SITI SARAH

“Rasulullah SAW bukan hanya pemimpin spiritual, tetapi juga pentadbir negara Madinah yang berpandukan wahyu Allah SWT serta mengamalkan syura dalam menyelesaikan urusan umat. Keputusan baginda sering kali dirujuk kepada para sahabat dan masyarakat diberi ruang menyuarakan pandangan,” katanya ketika ditemui Wilayahku.

Jelasnya walaupun Rasulullah SAW adalah maksum, terdapat beberapa tindakan baginda yang tetap ditegur oleh wahyu, menunjukkan bahawa dalam Islam, tiada siapa termasuk pemimpin tertinggi sekalipun yang berada di luar sempadan semak dan imbang yang adil.

“Islam tidak memperkenalkan istilah ‘check and balance’ secara literal pada zaman Rasulullah SAW, namun menerusi sirah dan pendekatan baginda, kita melihat semangat tersebut telah wujud dan diamalkan secara tersusun dalam bentuk syura, keadilan dan penolakan terhadap kezaliman,” jelas beliau.

Semangat semak imbang ini diteruskan dengan penuh integriti oleh para Khalifah ar-Rasyidin, khususnya Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar Al-Khattab, yang bukan sahaja memberi ruang rakyat menegur, tetapi menjadikan prinsip itu sebagai tonggak kepimpinan.

Siti Sarah memetik contoh khutbah pertama Abu Bakar sebagai Khalifah yang berbunyi: “Jika aku berbuat baik, bantulah aku. Jika aku berbuat salah, luruskan aku”. Ia jelas menunjukkan bahawa kepimpinan dalam Islam adalah amanah yang tidak kebal daripada teguran rakyat.

“Umar Al-Khattab pula pernah ditegur oleh seorang wanita berkaitan pandangannya tentang mahar, dan Umar menerima teguran itu secara terbuka tanpa rasa terancam. Ini adalah manifestasi kepimpinan yang adil, matang dan berintegriti,” katanya.

Keadilan dalam Islam menurut beliau tidak bersifat selektif sebaliknya ia ditegakkan tanpa kompromi walaupun terhadap keluarga pemimpin sendiri.

Beliau menyorot satu kisah penting ketika anak Sayyidina Umar, Ubaidillah bin Umar, membunuh dua individu kerana menyangka mereka terlibat dalam pembunuhan bapanya. Para sahabat menuntut agar qisas dijalankan ke atas Ubaidillah. Walaupun akhirnya Khalifah Uthman membayar diyat bagi meredakan situasi, kisah ini membuktikan bahawa dalam undang-undang Islam, tiada kekebalan atau imuniti mutlak untuk pemimpin mahupun kerabatnya.

“Ketaatan kepada pemerintah dalam Islam ada sempadannya. Jika pemerintah berlaku zalim, umat Islam wajib menegur dan membetulkan. Prinsip amar makruf nahi mungkar terpakai kepada semua termasuk pemimpin. Itulah asas kepada negara yang aman dan berkat,” tegasnya.

Mengulas realiti semasa, Siti Sarah melahirkan kebimbangan terhadap penggunaan istilah ‘syariah’ dalam sistem autoritarian moden yang hanya menghukum tetapi tidak melindungi, menyekat suara rakyat dan meminggirkan keadilan sosial.

“Kita kena kembali kepada roh sebenar kepimpinan Islam. Jika suatu sistem mengaku Islam tapi menafikan suara rakyat, menyekat keadilan dan memelihara kekuasaan, ia sudah lari jauh daripada maqasid syariah. Islam bukan alat untuk mengabsahkan kezaliman,” katanya tegas.

Beliau turut merujuk hadis sahih riwayat al-Bukhari tentang kewajipan menolong orang zalim bukan dengan menyokongnya, tetapi dengan menghentikan kezalimannya.

“Rasulullah SAW mengajar kita untuk menolong orang zalim dengan menghentikan kezaliman. Berdiam diri atau mengambil pendekatan ‘bukan urusan saya’ adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap prinsip Islam. Rakyat perlu sedar bahawa dalam negara moden, mereka juga memikul tanggungjawab terhadap sistem, institusi dan kepimpinan,” katanya.

Menurut beliau prinsip La Darar wa La Dirar ‘tidak memberi mudarat dan tidak menerima mudarat’ yang menjadi asas pelbagai hukum fiqh klasik, boleh diterjemah dalam konteks hari ini kepada dasar-dasar reformasi sosial yang melindungi rakyat daripada ketidakadilan ekonomi dan eksploitasi.

“Prinsip ini boleh diaplikasi dalam menggubal dasar tanah, hak pekerja gig, isu perumahan, pembangunan semula bandar semua dasar ini mesti mengelak daripada menindas mana-mana pihak, terutama golongan rentan,” tambah beliau.

Islam menurut Siti Sarah adalah agama yang memelihara kemanusiaan dan mengangkat martabat rakyat. Ia tidak membisu di hadapan kejahatan, sebaliknya bangkit menentang ketidakadilan dalam segala bentuknya, baik oleh pemerintah mahupun oleh sistem yang pincang.

“Islam adalah agama yang adil. Ia menolak kezaliman tanpa kompromi. Dan keadilan itu bukan sahaja tugas pemerintah, tetapi amanah rakyat juga. Malaysia MADANI yang kita cita-citakan mesti berpaksikan semangat ini bukan hanya nama, tetapi isi dan pelaksanaannya,” katanya. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas