PIHAK Perbadanan Putrajaya (PPj) terus memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana menerusi penganjuran Latih Amal Simulasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Wilayah Persekutuan Putrajaya, yang berlangsung baru-baru ini di Kompleks Kejiranan Putrajaya, Presint 8.
Sebanyak 139 peserta terlibat dalam simulasi dengan kerjasama agensi-agensi sahabat di bawah JPBD termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya (PKD) dan Hospital Putrajaya.
Ia merangkumi pemerhati, penilai dan anggota operasi, manakala 10 aset logistik turut digunakan, termasuk kenderaan seperti Toyota Hilux, Toyota X-Trail, van, ambulans dan lori.
Menurut Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud, selaku Pengerusi JPBD Wilayah Persekutuan Putrajaya, latihan ini memberi tumpuan kepada pengurusan PPS akibat kejadian tanah runtuh berskala Tahap 1, melibatkan seramai 25 orang mangsa.
“Lokasi kejadian simulasi ditetapkan di kawasan Tasik Presint 8, manakala PPS beroperasi di Dewan Kompleks Kejiranan, Presint 8.
“Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan Arahan NADMA 01, dengan objektif utama untuk memastikan pengurusan PPS yang cekap, selamat dan tersusun.
“Ia turut menguji keupayaan agensi dalam pelbagai aspek termasuk sumber manusia, kompetensi, teknologi, komunikasi, logistik dan peralatan,” katanya.
Fadlun menegaskan bahawa walaupun kejadian ini adalah sebahagian daripada latihan simulasi, semua agensi perlu memandang serius penyertaan mereka kerana Putrajaya juga bertanggungjawab membantu kawasan jiran yang mungkin memerlukan bantuan sekiranya berlaku bencana berskala besar.
“Latihan ini penting sebagai platform untuk mengasah kecekapan prosedur, pelan tindak balas kecemasan, pelan kesinambungan perkhidmatan dan koordinasi komunikasi antara agensi secara responsif dan menyeluruh.
“Tindakan awal yang cekap, koordinasi mantap dan keupayaan membuat keputusan di bawah tekanan adalah penentu utama keberkesanan sesuatu operasi bencana,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berharap agar latihan ini dapat digunakan sebagai ruang untuk menilai kelemahan dan memperkukuh penambahbaikan oleh setiap agensi.
“Penemuan dan cadangan sepanjang simulasi perlu direkodkan untuk meningkatkan kesiapsiagaan masa depan.
“Melalui program ini, diharap semua pihak lebih bersedia, tangkas dan cekap dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keupayaan agensi kerajaan dalam mengurus bencana secara berkesan dan berperikemanusiaan,” katanya.
Program ini juga menyokong hasrat Perbadanan Putrajaya untuk menjadi agensi contoh dalam pengurusan bencana di peringkat tempatan, sekali gus membentuk ekosistem keselamatan yang menyeluruh dan berpaksikan kebajikan rakyat. – WILAYAHKU