BAGI menstabilkan keterjaminan makanan mudah diperolehi serta mampu milik, Labuan perlu memperkasakan keupayaannya dalam pengeluaran bahan mentah asas tanpa bergantung bekalan mentah import.
Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, lebih 86 peratus daripada nilai sektor pertanian di Labuan datang daripada subsektor perikanan tangkapan.
Katanya, dengan kelebihan itu mencerminkan geografi Labuan yang strategik serta sumber lautnya yang kaya.
“Sebagai contoh dan seperti semua sedia maklum, beberapa bulan yang lalu, saya telah pergi melawat ke kilang pemprosesan ikan tuna di Labuan ini, di mana Labuan menjadi antara pemain utama pengeksport dan perdagangan tuna sejak 35 tahun yang lalu.
“Dibawah kepimpinan Kerajaan MADANI pada hari ini, kita
berhasrat untuk memastikan keseimbangan yang lebih adil dalam ekosistem industri ini.
“Kita tidak mahu melihat kesenjangan antara segmen yang besar dan kecil dalam rantaian terus melebar. Justeru, satu pendekatan yang lebih lestari dan menyeluruh perlu
diwujudkan bagi memastikan kelestarian industri ini.
“Akan ada tindakan selanjutnya kita laksanakan seperti engagement dengan petani atau pun pengusaha-pengusaha yang berkaitan dengan pertanian di Labuan dan kita akan melihat dimana kita boleh membantu mereka,”katanya kepada pemberita pada Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 peringkat Labuan, hari ini.
Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan telah mengarahkan Perbadanan Labuan untuk selaraskan perbincangan dengan beberapa agensi berkaitan bagi meneliti kadar kecukupan bekalan makanan asas di Labuan.
“Saya berpandangan, Labuan perlu memperkasa keupayaan dalam pengeluaran bahan mentah asasnya sendiri. Jika ada tanah yang sesuai dikenal pasti, projek seperti penternakan ayam, tanaman sayur-sayuran boleh dijadikan keutamaan.
“Namun, untuk melaksanakannya, kita perlukan the fact and figures terlebih dahulu. Saya percaya Labuan mempunyai potensi sebagai sebuah living laboratory.
“Sekiranya impian ini tercapai, Labuan akan mula menjadi pengeksport makanan berbanding sekarang yang tinggi kebergantungan kepada import,”katanya. – WILAYAHKU.