Berita

Amir Hamzah diberi tanggungjawab jalankan tugas, fungsi Menteri Ekonomi

- Diterbit 27 Jun 2025 10:30 AM MYT

MENTERI Kewangan ll, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Setiausaha Negara yang juga Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, ia dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perdana Menteri telah memaklumkan Jemaah Menteri yang bersidang pada 25 Jun bahawa beliau telah bersetuju supaya Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (Menteri Kewangan ||) untuk menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat,

Beliau memberitahu, tugas utama Datuk Seri (Amir Hamzah) adalah untuk mengolah dan merombak semula inti pati naskah Rancangan Malaysia ke-13 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai ini.

Katanya, ia mengambil kira maklumat tambahan yang dikemukakan oleh kementerian-kementerian serta pandangan dan ulasan yang diberikan oleh Jemaah Menteri.

Pada 28 Mei lepas, Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun, selepas gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas