Agama

Fatwa adalah solusi, bukan provokasi

- Diterbit 27 Jun 2025 9:10 AM MYT

DILANTIK sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu berkuat kuasa 23 Mei lalu, SAHIBUS SAMAHAH AHMAD FAUWAZ FADZIL mahu mengangkat institusi mufti sebagai rujukan utama umat Islam merangkumi semua golongan.
Berusia 44 tahun, beliau antara mufti termuda ketika ini dan berpengalaman luas dalam perundangan Islam. Maka pelantikan beliau dianggap bertepatan, digaul dengan pengalamannya untuk membangun ummah dari sudut perpaduan.
Dalam pertemuan wartawan Wilayahku, METRA SYAHRIL MOHAMED dan SERIMAH SALLEHUDDIN bersama jurugambar, SYUQQREE DAIN dan juruvideo, HASIF HALIMI, beliau turut diaju persoalan mengenai jenayah rasuah yang dianggapnya sebagai ‘hadas besar’ yang menghalang kemajuan sesebuah negara.
Malah dalam temu bual pertamanya bersama media ini, beliau beriltizam mahu memasyarakatkan fatwa dengan institusi mufti ini dianggap sebagai ‘bapa yang penyayang’.

Sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baru, sudah tentu Ustaz ada memikirkan untuk membuat sebarang pembaharuan dalam tadbir urus atau juga berkaitan dengan syiar Islam mendepani pelbagai kemasl ahatan ummah termasuk panduan-panduan agama yang kini mudah diakses menerusi ‘ustaz google’ dan kecerdasan buatan (AI)?

Asas yang kita nak buat adalah islah dan juga reformasi, bertepatan dengan negara kita iaitu agenda perubahan. Seperti mana semua sektor ada perubahan, institusi fatwa juga lebih berhajat kepada perubahan dari sudut tadbir urus, tatakelola. Tatakelola ini merangkumi semua, dari sudut pentadbirannya, gerak kerja, fatwa, supaya fatwa ini serasi dengan zaman. Dan kita nak jadikan fatwa ini menjadi rujukan utama daripada semua golongan; orang miskin, orang kaya, korporat, perusahaan kecil dan sederhana, golongan layman kerana badan autoriti ini dia bukan saya seorang. Saya mewakili kepada hampir 10 orang dalam jawatankuasa fatwa.
Jadi kita bukan buat kerja seorang, kita ada lebih kurang 101 staf yang bekerjasama di dalam memperkasa, sebab fatwa ini maksudnya apa? Mengajak orang beramal dengan syariah. Jadi kita punya standard fatwa ini insya-Allah apa yang kita keluarkan itu ia valid, sebab ia tidak bersikap individu.
Jadi islah yang kita nak buat, yang pertama adalah memasyarakatkan fatwa, supaya ia menjadi satu rujukan utama kepada kerajaan, pemerintah, sektor kerajaan, swasta, masyarakat awam dan semua peringkat (termasuk) artis, pemain bola, supaya kita (institusi mufti) jadi ‘bapa yang penyayang’.
Jadi saya istilahkan mufti ini adalah ayah yang penyayang, semua anak kita, anak ini macam-macam (perangainya). Tetapi yang penting ia anak, bukan musuh kita.
Sebab itu kita nak melakukan reform bahawa fatwa dan Jabatan Mufti ini bukan lawan kepada sesiapa, ia bukan lawan kepada kerajaan. Sesetengah masyarakat dia nak mufti ini jenis suka lawan kerajaan, itu tak betul. Ia adalah penasihat kerajaan yang amanah.
Kita guna nama nasihat sebab nasihat ini lemah lembut. Kita bukan macam penceramah yang menjerit sana, menjerit sini. Menjerit tak menyelesaikan masalah tapi ilmu dan fakta. Sebab itu fatwa adalah solusi, bukannya provokasi.

Bagaimana dengan perjalanan fatwa setakat ini? Apakah yang disiarkan di laman web mendapat view yang tinggi?

Sangat (memberangsangkan), kita ada jutaan yang melayari. Mufti dari 1974 sehingga Profesor Madya Datuk Dr Luqman Abdullah (bekas Mufti Wilayah Persekutuan terdahulu) telah melakukan amanah dengan baik. Kita amat berterima kasih dengan semua mufti yang melaksanakan amanah dengan baik dan saya datang untuk menyempurnakan dan menjadi tabiat orang baru kena membuat pembaharuan. Sebabnya, zaman berubah. Zaman mereka sesuai dengan zaman mereka, zaman saya dengan ada AI, dengan ada perkembangan isu terkini, antarabangsa, sebab dengan dunia digital dan media sosial ini kita tak boleh memencilkan diri. Kita kena explore kerana maklumat sampai dengan sekelip mata. Jadi kalau Jabatan Mufti slow (perlahan), orang akan pergi ke tempat lain. Itu yang pergi ke ‘ustaz Google’ dan TikTok.
Saya tak tolak semua ‘ustaz TikTok’ tetapi yang penting ada kelayakan.

Saya inginkan daripada semua masyarakat cari ilmuan yang ada autoriti dan yang belajar daripada institusi yang tepat. Sebab motivasi, mungkin kita ada keringanan daripada ceramah ustaz, tetapi fatwa bukan daripada orang yang pandai ceramah, tak semestinya, mungkin kalau pandai ceramah itu kelebihan dia, tetapi fatwa adalah kepakaran dan autoriti serta kelayakan.
Jadi apabila fatwa diambil daripada orang yang tak layak berlakulah fawdaa atau apa yang dikatakan krisis. Itu yang berlaku perbalahan. Jadi tak berlakunya penyelesaian.
Kita memerlukan kepada penyelesaian lebih daripada pertengkaran. Sebab di fatwa, kita namakan fatwa di era MADANI.
Kita bersama kerajaan, bersama- sama membangunkan negara ini, meningkatkan nilai karamatul insan (kemuliaan insan), nak menjadikan fatwa ini menyokong dasar kerajaan dari semua aspek, terutamanya ekonomi untuk menghapuskan kemiskinan tegar, menggalakkan kerajaan memperbanyak peluang pekerjaan dan menggalakkan orang suka bekerja.

Bagaimana pandangan Ustaz mengenai perpaduan ummah dalam konteks Malaysia ketika ini? Wujudnya perpecahan dari segi ideologi politik atau kemazhaban. Baru-baru ini di TikTok ada video yang menegaskan Nabi Muhammad SAW tidak pernah mengatakan baginda sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah, baginda juga tidak pernah mengatakan baginda berpegang kepada mazhab tertentu, tetapi baginda adalah seorang Muslim dan kita perlu kembali kepada ajaran sebenar Rasulullah SAW. Pandangan Ustaz?

Itu dipanggil perkembangan evolusi, sebab Rasulullah SAW adalah sumber rujukan. Satunya baginda bersifat maksum dan tak perlu kepada pelabelan apa-apa, sebab baginda maksum dan rujukan utama. Apabila berlaku evolusi, sudah tentu kita agak jauh dengan Rasulullah SAW dan memerlukan penjenamaan untuk kita memastikan kefahaman kita itu tepat. Dan orang yang faham ini adalah ulama-ulama kita, daripada pelbagai mazhab, al-Ashairah, al- Maturidiyyah, al-Hadith, as-Syafi’i, sebab mereka yang mengkaji Al- Quran dan sunnah. Tetapi istilah- istilah itu bukan sebagai sumber dalil, tetapi sebagai kamus yang menginterpretasikan tindakan Rasulullah. Sebab kita tak boleh faham Al-Quran secara direct sebab kita bukan pakar. Jadi, orang salah faham label-label itu seperti mazhab, ia bukan pengganti kepada agama, ia bukan alternatif, ia kamus yang menafsirkan. Jadi sesiapa yang ambil mazhab as-Syafi’i, seolah-olah dia beramal dengan sunnah Rasulullah sebab sunnah ini macam lombong, apabila Rasulullah bersabda, baginda tak sebut rukun, syarat, sebab, (sebagai contoh) kita nak solat macam mana? Nak bertakbir dahulu, takbir itu rukun atau sunat? Jadi yang menghuraikannya adalah mazhab-mazhab ini. Sebab itu jangan salah faham, orang yang berkata sedemikian (mengenai mazhab) adalah orang yang menganggap mazhab itu alternatif, pengganti kepada sunnah ataupun Al-Quran. Sebenarnya mazhab atau aliran ini bukan menggantikan, ia kamus, ia menginterpretasikan apa yang Rasulullah SAW inginkan. Jadi tidak ada di sana kontradiksi kefahaman.

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas bagi menyediakan sukatan pelajaran pemulihan akidah mangsa dan pengikut sebuah organisasi sebelum ini, apa dapatan utama yang Ustaz lihat kepada permasalahan terpesongnya akidah mereka? Apakah pendidikan Agama Islam di sekolah-sekolah kita masih tidak kuat untuk menjadi benteng kepada berlakunya perkara sebegini?

Sudah tamat (Jawatankuasa Khas). Kita dari sudut basic (sangat) strong, dari segi Perlembagaan, enakmen, semua ada kawalan. Cuma ia bergantung kepada operasi, follow up, sebab kalau kita tengok pengajian KAFA, silibus, semua cantik. Kita perlu perkemaskan guru-guru dan ibu bapa serta masyarakat. Sebab kita tak boleh meletakkan kegagalan itu kepada sistem pendidikan. Struktur pendidikan kita sangat lengkap. Mungkin cara penyampaian (boleh) ditingkatkan, media sosial kena memainkan peranan. Tetapi kalau media sosial rasmi atau tidak rasmi mempromosikan benda-benda yang tidak baik akhirnya orang lebih terkesan dengan media sosial. Ia dianggap sebagai Rukun Negara yang kedua selepas yang lain. Sebab ia boleh menghancurkan sesebuah negara atau mencantikkan sesebuah negara. Tengok negara luar yang hancur, (disebabkan) media sosial, sehingga buat penggulingan kuasa. Siapa yang menghidupkan benda itu? Dengan kuasa yang ada pada media sosial, dengan nama Jabatan Mufti, kita mengharapkan sebarkan risalah tiga perkara: risalah kebaikan, risalah kecantikan dan risalah kebenaran. Tugas media sosial dan wartawan bukan membangkitkan provokasi tetapi pencerahan, gerakan al-tanwir.

Jika ajaran sesat berkenaan, bagaimana dan punca mereka ini terpesong?

Ajaran sesat ini bekerja kuat. Asasnya adalah kejahilan, tidak kembali kepada rujukan utama. Sebab itu kita mahu jadikan Jabatan Mufti dan agensi di bawah kerajaan ini sebagai rujukan utama. Tetapi kadang-kadang ada yang tak suka kepada autoriti ini. Mereka suka buat benda-benda yang underground, boleh cakap pelik-pelik. Jadi kita perlu perkasakan, sinergikan semua agensi dan memperbanyak program yang bersifat produktif. Tetapi jangan lupa di antara punca mereka sesat juga adalah kerana tidak ada peluang pekerjaan. Sebab itu kerajaan ini melihat, bila kita nak pulihkan orang sesat, kita kena sediakan peluang pekerjaan. Agensi-agensi, syarikat swasta kena bantu kerajaan dari sudut memberikan peluang.

Tetapi organisasi itu sebuah syarikat?

Tak, mereka tidak bergaji, mereka sukarela, itu puncanya. Kita nak masukkan mereka ini dalam sistem. Sebab itu ajaran sesat atau penagih dadah, semua tak ada kerja. Memang ada juga yang bekerja tetapi point di sini adalah ibadat dan ilmu tak cukup kalau tak ada kerja. Sebab orang yang hebat macam mana pun tak ada kerja lama-kelamaan dia akan mendatangkan masalah. Sebab itu dalam pemulihan, pada pandangan saya apabila kita berbincang, dalam pemulihan itu mesti ada pelan untuk peluang pekerjaan untuk mereka. Kerana jika mereka sibuk dengan bekerja, tak sempat nak memikirkan tentang kejahatan. Orang yang rasa kosong sahaja yang sempat fikir buat jahat. Apabila kita hendak buat perubahan, pemulihan itu mesti holistik. Ia tak boleh hanya agama sahaja. Kehidupan kita ini ‘sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya’. Kita selalu lupa aspek kehidupan itu. Kehidupan ini penting, kita kena sayang kehidupan kita. Ajar orang sayang kehidupan, sayang jalan raya, sayang alam sekitar, sayang bangunan, barulah ia berlaku satu kelestarian. Sekarang ini orang buang sampah, mencemarkan alam, sebab mereka tak sayang. Jadi kita latih orang sayangkan kehidupan anda, dunia dan juga akhirat.

SELESAI DENGAN DIALOG

Sebelum ini kecoh mengenai RUU Mufti Wilayah sehingga ditangguhkan untuk dibentang di Dewan Rakyat. Bagi pandangan Ustaz, apa sebenarnya yang membuatkan ia ditangguhkan? Kenapa ada kekeliruan sehingga ia turut disentuh oleh orang bukan Islam?

Secara asasnya, tujuan kita membuat RUU ini adalah untuk memperkasa institusi fatwa itu. Cuma yang pergaduhan itu sebenarnya boleh diselesaikan dengan dialog. Dialog yang baik. Bagi saya, saya beriman dengan dialog, saya tak beriman dengan debat. Kemusykilan kita sekarang ini, masalah kita, yang berlaku dalam kalangan asatizah ataupun siapa-siapa, mereka suka berdebat. Debat selalunya membabitkan sekelompok pengikut. Selepas berdebat, bergaduh lagi. Dan tuan- tuan boleh tengok kesannya tidak baik pun. Sebaliknya buat dialog yang tertutup biar ahli ilmu yang bercakap, tak perlu kepada orang awam kerana mereka banyak tafsiran sendiri. Orang cakap lain, mereka faham lain. Apa yang perlu dibuat adalah dialog yang tertutup bersama pemerintah supaya kita dapat mencari penyelesaian terbaik untuk negara kita. Semua orang ikhlas untuk menjadikan Malaysia negara Islam yang terbaik. Jadi, RUU ini satu benda yang penting untuk memperkasa fatwa supaya kedudukan fatwa dan kapasiti dia lebih mantap. Maknanya ia boleh bercakap dalam bidang ini sebagai ‘trustee’ kerajaan.
Sekarang ini bidang kuasa mufti terbatas. Kita hanya ada falak dan masjid. Ia belum lagi kepada jenayah atau benda lain. Mereka hanya minta nasihat tetapi tidak ada punca kuasa di situ. Jadi apabila RUU dibawa dan dibahaskan dalam bentuk memperkasa institusi fatwa itu maka dia akan jadi lebih bebas dan dihormati. Cuma kadang-kadang kita tak fokus kepada itu, sebaliknya fokus kita lebih kepada benda yang boleh dibahaskan.
Bagi saya tidak ada pun isu yang besar, cuma saya harapkan semua orang kalau ada apa masalah dengan kerajaan, berdialoglah. Maksudnya orang agama jangan buka ruang untuk orang tidak mempercayai institusi agama yang dipanggil sebagai anti-establishment. Perkara itu sangat bahaya, kita tak mahu jadi macam negara Islam yang lain. Sampai orang hilang kepercayaan apabila kita terlampau kritik. Cara untuk menjaganya adalah dengan berdialog.
Saya sentiasa ada 24 jam, insya-Allah kita buka kepada sesiapa saja untuk berdialog dan saya juga belajar untuk mendengar pandangan.

Jadi apakah hikmahnya RUU ini untuk dilulus dan dipersetujui di Parlimen serta kesan jangka panjangnya?

Yang pertama untuk memperkasa, kemudian kita nak jadikan ia lebih berkesan. Keberkesanan itu penting kerana bila diperkasakan, semua agensi akan melihat kepada kita. Cuma tujuannya saya serahkan kepada Parlimen untuk dibahas betul- betul. Sebab apa yang diucapkan oleh orang agama ini masih boleh dibahaskan dari sudut ilmu.
Dari sudut Parlimen pula, kita kena bincang dengan elok-elok untuk masa depan sebuah negara. Sebab negara kita adalah negara sunni yang mempertahan akidah dari Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sebab itu saya terbuka untuk berdialog, supaya kita dapat bahaskan dengan adil, tetapi tak nak emosi, tak nak ada dibincangkan terbuka sebab masyarakat tak faham sebenarnya. Yang membahaskan perlulah orang cerdik atau akademik, bukan ditutup langsung tapi jangan sampai orang ada prasangka yang tidak baik kepada kerajaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Mufti.
Kita semua ikhlas nak berbuat baik, kita nak kebaikan kepada semua. Tapi tak boleh diulas secara terperinci kerana isu ini agak sensitif. Jadi kita nak semua orang berlapang dada.

AJAKAN KEPADA PERPADUAN

Sejurus selepas pelantikan Ustaz sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baru, mantan mufti, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyifatkan Ustaz sebagai tokoh wasatiah (sederhana) yang menekankan kesatuan umat. Dalam bentuk apa kesatuan itu mampu dicapai sedangkan dalam soal politik pun kita sudah berpecah belah?

Kesatuan yang kita inginkan adalah kesatuan manusia. Sebenarnya kita boleh bersatu dengan siapa sahaja Cina, India, Iban, Kadazan kerana kita mempunyai mekanisme yang sama. Dalam tubuh badan kita ni Allah SWT cipta persamaan kemanusiaan. Saya lapar, orang Cina pun lapar, saya sedih, orang Cina pun sedih. Kita nak membina kesatuan kemanusian kerana banyak titik pertemuan yang kita boleh bekerjasama. Contohnya, kita nak ajak kepada nilai agama. Kita nak ajak kepada misalnya (perbincangan mengenai) anti- atheist, mereka pun anti-atheist. Kita nak ajak kepada pembasmian dadah, mereka pun ada. Kita nak ajak kepada anti kepada pembuangan anak luar nikah, mereka pun bersama. Jadi sebenarnya kesatuan kita bertitik daripada kemanusiaan itu sendiri. Sebab agama kita ini adalah agama fitrah dan akal serta kemanusiaan. Dengan penyatuan inilah kita berjaya mewujudkan kemajuan. Tidak mungkin negara kita akan berjaya berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, Seri Paduka bertitah hadiah yang terbaik adalah kesatuan umat dan perpaduan. Perpaduan ini lebih wajib daripada sembahyang sunat.
Orang selalu bergaduh isu sunnah tapi dia lupa sunnah perpaduan yang Allah SWT sebutkan mengenai ummah. Umat ada dua iaitu umat yang masuk Islam dan umat yang kita nak ajak kepada Islam. Jadi, kesatuan ini bukan fikrah saya tetapi fikrah Islam itu sendiri. Mana mungkin kita nak mencapai negara maju, tanpa ada kesatuan. Hatta kerajaan dengan pembangkang pun kena bersatu. Mungkin dalam Parlimen berbahas tapi sejiwa itu kena ada menjadi satu hati.
Sebab itu jangan bazirkan tenaga kita dalam bentuk bangkang tapi bentuk cadangan. Maknanya kita ada 30 juta rakyat, semua adalah aset hatta kalau dia banduan pun, dia aset kita. Mereka masih boleh bekerja, daripada kerajaan belanja RM4 juta sehari untuk mereka, kenapa tidak kita terbalikkan mereka yang memberi RM4 juta kepada kerajaan dengan bayar cukai dan sebagainya, negara kita cantik.
Tapi masalahnya kita senang menghukum mereka selama-lamanya. Jadi kita nak ajak kepada perpaduan dengan menjadikan semua orang sebagai aset negara termasuk artis dan pemain bola sepak apabila mereka membayar cukai dan zakat.
Saya suka kepada perpaduan kerana saya tidak memihak pada mana-mana aliran. Saya baik dengan semua orang, mazhab saya as-Syafi’i tapi saya tak pernah anti mazhab lain dan tak terikat dengan mana-mana parti, semua saudara saya. Kerana rugi kalau kita bergaduh terlalu banyak. Daripada sibuk di media sosial kita ubah minda mereka untuk bersama. Sekarang siapa bekerja di negara kita semuanya orang luar, saya berterima kasih kepada mereka. Jadi semua orang adalah aset negara, dengan penyatuan ini semua orang akan cintakan negara.

RASUAH ADALAH ‘HADAS BESAR’

Ketika ini kerajaan memperhebat usaha menangani isu rasuah dan mengejutkan ia banyak membabitkan orang Islam. Apakah hukuman jenayah rasuah ini tidak menggentarkan sehingga ia susah untuk ditangani?

Bagi saya kita punya undang- undang sangat baik, cuma ia tak boleh bergantung kepada undang-undang. Pencegahan rasuah ini perlu dididik dari sekolah lagi, dan perlu dilaksanakan secara komprehensif. Dari sudut undang-undang, good governance, cara pelantikan, semuanya sudah ada. Maknanya kalau kita lantik orang yang tak layak, maka itu berlakunya rasuah. Namun tindakan kerajaan menaikkan gaji itu antara langkah mengurangkan rasuah. Di antara maqasid syariah ialah kerajaan menaikkan gaji. Saya menyokong apa-apa agenda kenaikan gaji kerana ia akan mengurangkan salah guna kuasa. Kita bercadang untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan akan keluarkan risalah rasuah untuk menyatakan ia merugikan negara. Kita dah kerugian RM280 bilion (akibat rasuah). Rasuah ini menyebabkan kejatuhan ekonomi. Ia ibarat ‘darah haid dan nifas’. Apa maknanya? Apabila kita ada darah haid dan nifas, kita tak boleh sembahyang. Rasuah ini adalah ‘hadas besar’ yang menghalang kemajuan. Mana-mana yang tidak maju (kerana rasuah), sebenarnya ia boleh maju, ada potensi kemajuan, tetapi ada junub, ada hadas besar yang ia (nak) maju (tetapi) tak boleh kerana terhalang dengan hadas besar. Itulah rasuah, itulah yang dipanggil sebagai penyalahgunaan kuasa.

Kita perlu perkasa undang- undang, create public awareness dan latihan untuk bekerja. Sebab apabila kita suka bekerja, itu yang kita tak suka rasuah. Akhirnya cinta kepada Allah dan rasul. Kita nak membina ekonomi yang sihat, yang datang daripada sumber yang halal, yang legal, menyumbang kepada negara. Jabatan Mufti tegas bersama kerajaan menyokong apa jua agenda.

Tetapi orang yang sudah berharta, kerja baik juga terlibat rasuah dan penyalahgunaan kuasa?

Tamak. Penyakit tamak ini perlu dirawat. Kesannya kepada negara. Andalusia jatuh kerana dua perkara: kemewahan rakyat (tamak) dan pembaziran kerajaan. Ubat penyakit tamak adalah agama. Benda itu akan berterusan. Selaku pihak autoriti, kita juga perlu berjuang berterusan, ia akan wujud tetapi perlu ada penyelesaian. Maknanya bila dihukum penjara itu mesti ada rawatan. Penjara itu perlu ditingkatkan sebagai pemulihan, bukan sekadar hukuman. Sebab pedang tak membentuk akhlak, rotan juga tidak membentuk akhlak, ia hanya untuk bagi sakit, kemudian perlu ada kesedaran.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas