Berita

Antara ketirisan, penjimatan dan penyaluran bantuan

- Diterbit 27 Jun 2025 8:40 AM MYT

APABILA kerajaan menyebut sahaja mengenai penyasaran subsidi, ramai yang keluh-kesah, tidak kurang hebat di pentas politik ‘kedai kopi’ yang menghentam rasional di sebalik tindakan tersebut.

Melingkari semuanya itu, ada juga yang ibarat ‘plant a seed’ atau mempengaruhi minda sesiapa sahaja yang ‘lalu di depannya’ dengan kenegatifan ‘belakang tabir’ apa sebenarnya yang mahu dicapai kerajaan dalam penyasaran berkenaan.

Bagi pemikir integriti, pengurusan kewangan mahupun kemasyarakatan, penyasaran subsidi ini benar-benar ‘brilliant’, bukannya usaha kosong atau sengaja diada-adakan bagi ‘mengempiskan dompet rakyat’.

Tidak sekali-kali usaha ini sengaja diada-adakan bagi menghukum rakyat kebanyakan dan ‘mengembungkan kantung’ kerajaan.

Begitu juga pendapat Penganalisis Ekonomi di Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, pemikir ekonomi di sebuah institusi ternama berkaitan pengurusan dan lapangan bisnes berpangkalan di Serdang, Selangor ini.

Dalam catatannya kepada Wilayahku, beliau melihat program penyasaran subsidi negara ini amat penting untuk dilaksanakan sekarang.

Tujuannya apa?. Pertama dan utamanya adalah untuk mengelakkan berlakunya pembaziran dan ketirisan yang berterusan.

Ketirisan di sini bermaksud, subsidi, contohnya bahan api, turut dinikmati secara bersama antara golongan B40 dengan mereka yang berpendapatan tinggi, T20. Malah mengejutkan apabila ketirisan berlaku dengan ia turut dinikmati warga asing.

Berdasarkan rekod semasa, kira-kira 35 peratus subsidi bahan api diterima golongan berpendapatan tinggi, elit, maha kaya, T20, dan ia sememangnya tidak adil kepada semua.

Itu baru sahaja disebut bahan api terutamanya RON95, bagaimana pula dengan subsidi-subsidi lain, yang turut dinikmati semua pihak termasuk kelompok yang ‘makan di pinggan, minum di cawan’, satu bentuk simbol kepada golongan hartawan, bangsawan atau saudagar dalam filem Tiga Abdul lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada 1964.

Kelompok-kelompok inilah yang turut sama mengaut subsidi disediakan kerajaan sejak sekian lama.

Untuk itu jelas Ahmed Razman, matlamat subsidi yang ada ketika ini telah tersasar apabila golongan yang tidak layak menerima subsidi adalah golongan yang banyak menerima subsidi itu.

Oleh yang demikian tegas beliau, penyasaran subsidi ini akan memastikan majoriti pengguna masih lagi dapat menikmati subsidi dan pada masa yang sama tidak lagi berlaku situasi ketirisan dan pembaziran.

Penjimatan daripada penyasaran subsidi ini pula katanya, membolehkan kerajaan menggunakan hasil yang dijimatkan itu untuk menyalurkan lebih banyak penyaluran bantuan kepada golongan yang memerlukan seperti program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Pengalihan penjimatan berbilion ringgit ini cukup memberi impak positif kepada kebajikan sosial selain kerajaan dapat menggunakannya demi pembangunan infrastruktur lain termasuk kesihatan dan pendidikan.

Semasa pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah penyasaran subsidi ini terbukti berkesan dalam mengekang ketirisan akibat penyeludupan dan penggunaan oleh sektor perniagaan yang tidak layak.

PERDANA Menteri membentangkan Belanjawan 2025.

Kenyataan Perdana Menteri ini merujuk kepada subsidi bersasar diesel yang dilaksana sejak Jun 2024, dijangka dapat menjimatkan sehingga RM4 bilion setahun.

Apa terjemahan di sebalik RM4 bilion setahun ini? Sudah pasti ia ‘mengembungkan kantung’ kerajaan untuk dinikmati kembali oleh rakyat dalam bentuk program-program kesejahteraan hidup.

Penjimatan RM4 bilion setahun ditambah dengan fakta terkini bahawa kerajaan berjaya mengurangkan defisit fiskal kepada RM21.9 bilion pada akhir Mac lalu, komitmen kerajaan jelas bahawa program bantuan sosial bersasar seperti STR, SARA termasuk Insentif Pendaratan Ikan dan Skim Subsidi Harga Padi terus diperkukuh.

Memetik laporan Kementerian Kewangan (MOF), beberapa pencapaian utama sepanjang suku pertama 2025 mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kemampanan fiskal negara.

Antara lain, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar Malaysia berkembang sebanyak 4.4 peratus, mengatasi kadar pertumbuhan 4.2 peratus yang dicatatkan dalam suku yang sama tahun lalu, didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan serta pemulihan berterusan dalam sektor-sektor utama seperti perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

Angka-angka dan pencapaian ini enak didengar namun sudah pasti hadir dengan syarat utama, perlu disemat dalam semua sektor bahawa ketegasan melibatkan isu berkaitan integriti hendaklah diiringi bersama.

Bukan sekadar membaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), ia juga demi memastikan angka-angka dan pencapaian itu benar-benar dirasai segenap lapisan masyarakat.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas