Berita

Konsert Muzik Kita! Satukan pencinta muzik, artis indie Malaysia

- Diterbit 26 Jun 2025 6:51 PM MYT

TIDAK seperti muzik arus perdana atau komersial, persada muzik bawah tanah (Indie) seringkali dipandang sepi kecuali bagi mereka yang benar-benar menghargai serta memiliki apresiasi yang cukup tinggi terhadap aspek seninya, keasliannya serta penceritaannya.

Namun, ada beberapa alasan yang membuatkan ramai kelompok pencinta muzik menggemari muzik indie ini sejak ia mula meledak di tanah air pada awal era 90-an.

Muzik indie kebiasaannya berkait rapat dengan nilai peribadi, hubungan emosi dan keinginan untuk menikmati sesuatu hasil karya muzik penuh kreativiti unik serta asli dalam kalangan komuniti dengan identiti serta pemikiran sama atau serupa.

Konsert Muzik Kita! anjuran Hard Global Ventures merupakan satu inisiatif untuk terus mengangkat nama-nama artis dan kumpulan muzik indie dari pelbagai generasi.

Bakal diadakan di MAEPS Serdang, pada 2 Ogos 2025 ini, Konsert Muzik Kita! menyatukan artis dan kumpulan muzik bawah tanah daripada beberapa generasi 90-an hingga sekarang seperti Butterfingers, Monoloque, Ki Misri, Fugo, Perry, Fimie Don, Satwo, Heidi Moru, Nadarasa, Dukes, Mardiana dan Salammusik serta artis Indonesia, Nosstress.

Ketua Pegawai Eksekutif, Hard Global Ventures, Khairil Azam Pilus atau lebih mesra disapa Aril berkata, Konsert Muzik Kita! adalah sebuah cara muzik berkonsepkan muzik ‘timeline’ yang menyajikan penonton dengan muzik indie bermula daripada generasi X sehinggga ke alpha.

“Sayang sekali kalau kita tidak melakukan penyatuan ini kerana walaupun ada antara nama-nama artis atau kumpulan muzik indie ini tidak dilihat gah atau besar seperti artis mainstream.

“Namun pengaruh mereka juga sangat kuat dan populariti mereka juga ada yang sudah berjaya merentasi negara luar dengan pencapaian-pencapaian yang cukup membanggakan.

“Kita mahu ‘mendidik’ generasi penonton artis indie baharu untuk menghargai generasi penonton atau artis indie lama serta generasi lama agar menerima karya, idea atau cara generasi baharu menikmati muzik.

“Dulu-dulu, kita dengar muzik indie melalui radio atau persembahan gig band dengan cara yang lebih energetik (melompat, menari, banging atau pogo).

“Sekarang agak berbeza apabila generasi hari ini punya cara mereka adalah cara ‘healing’ yang sangat berbeza. Tetapi, akhirnya muzik tetap jadi tempat kita semua kembali,” katanya.

KETUA Pegawai Eksekutif, Hard Global Ventures, Khairil Azam Pilus atau nama popularnya, Aril Pilus.

Jelas Aril Pilus lagi, idea menganjurkan konsert ini datang daripada beberapa siri percubaan yang cuba dilakukan, malangnya ia gagal mencapai piawaian yang diinginkan.

“Ia juga suatu usaha untuk melakukan sesuatu yang baharu. Selepas menimba ilmu di Univerisiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang pengurusan industri kreatif, saya terfikir apa yang perlu saya lakukan dalam kerjaya saya dan bagaimana saya boleh menyumbang kepada industri muzik?

“Jadi, saya cabar diri saya dengan cara menganjurkan konsert. Awalnya memang agak kabur kerana kita sendiri adalah seorang selebriti. Tetapi dengan sedikit pengalaman menganjurkan show kecil serta ilmu yang dikutip daripada orang-orang berpengalaman serta bantuan rakan-rakan, saya cuba redah,” katanya.

Selain itu, Loque yang mewakili Monoloque dan Butterfingers berkata, dia berharap ramai pengikut Butterfingers yang sinonim dengan gelaran Royal Butters tidak akan melepaskan peluang untuk datang menyaksikan konsert ini.

“Ramai yang mahukan kami membawakan lagu-lagu klasik dalam album awal Butterfingers seperti 1.2 Miligrams (1996), Butter Worth Pushful (1997) serta Transcendes (1999). Permintaan ini juga datangnya daripada pihak penganjur sendiri.

“Saya labelkan lagu-lagu Buntterfingers zaman intu sebagai ‘Grunge Totok’. Jadi, bagi pengikut kami yang asyilk tanya bila nak bawakan lagu-lagu grunge kami dalam album-album ini, inilah masanya.

“Rugi, kalau tak datang. Lagipun, Butterfingers akan menjadi artis terakhir yang membuat persembahan pada konsert ini,” katanya.

Menurut Loque lagi, bagi persembahan bersama Monoloque pula, dia akan menyanyikan lagu-lagu yang diiminati kelompok peminatnya termasuk lagu-lagu baharu yang dirillis pada tahun lagu.

“Bahkan, saya juga bercadang untuk mengundang Atilia dan Herman Tino sebagai artis undangannya pada malam itu. Dalam konsert ini juga, Monoloque akan menjadi artis pembuka tirai,” katanya.

Sementara itu, Fimie Don pula akui berasa teruja apabila berpeluang untuk beraksi di Konsert Muzik Kita! ini bersama artis sezamannya serta artis legenda seperti Butterfingers dan Salam Music.

“Saya adalah pelakon yang cukup serius menjadi penyanyi dan saya mahu tonjolkan bakat dan kreativiti saya dalam bidang ini. Peluang yang diberikan untuk beraksi di pentasi ini pasti tidak akan saya lepaskan.

“Apatah lagi bila dapat berada sepentas dengan Loque yang memang selama ini menjadi mentor dan sumber inspirasi saya untuk menjadi seperti beliau,”katanya.

Konsert Muzik Kita! mendapat penajaan daripada MJTX PERFUME dan SURENITY serta sokongan serta kerjasama daripada rakan-rakan strategik seperti EVOVITY (Rakan F&B), SUTRAMAS (Beef Roti), ERA, GEGAR dan SINAR (Radio Rasmi) serta Banafee Restoran yang menaja lokasi sidang media.

Tiket Konsert Muzik Kita! sudah mula dijual sejak April lalu bermula dengan harga RM75 hingga VIP RM300++ serta boleh didapati di pautan www.ticketmelon.com. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas