Berita

Ma’al Hijrah 1447H tampil segar dengan tema ‘Membangun Ummah MADANI’

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee
- Diterbit 25 Jun 2025 11:00 AM MYT

SAMBUTAN Ma’al Hijrah tahun ini dijangka lebih bererti dan berimpak tinggi apabila diangkat dengan tema segar “Membangun Ummah MADANI”, mencerminkan iltizam negara membina masyarakat Islam yang progresif, berpaksikan nilai kemanusiaan, spiritual dan keilmuan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajudin Suhaimee, berkata sambutan peringkat kebangsaan bagi tahun 1447H/2025M akan berlangsung pada Jumaat ini, 27 Jun, bersamaan 1 Muharam 1447H, bermula 9.30 pagi di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.

Menurut beliau, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dijangka berangkat ke majlis penuh simbolik itu, yang turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, bersama lebih 8,000 tetamu dari dalam dan luar negara.

“Tema tahun ini — Membangun Ummah MADANI — dipilih bagi menekankan bahawa Ma’al Hijrah bukan sekadar mengimbas sejarah, tetapi menyeru umat Islam agar menghayati nilai hijrah dalam konteks pembangunan manusia dan tamadun secara menyeluruh,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, pendekatan ini sejajar dengan gagasan Malaysia MADANI yang membawa nilai kesejahteraan, kemampanan, kehormatan, daya cipta, keyakinan dan ihsan dalam membina masyarakat Islam yang bukan sahaja berilmu, malah seimbang antara roh dan jasad.

Sirajudin berkata majlis turut menyaksikan detik penting iaitu pengurniaan Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa kepada individu unggul yang telah memberi impak besar terhadap syiar Islam di peringkat nasional dan global.

“Penerima anugerah dipilih berdasarkan kredibiliti, sumbangan intelektual dan keunggulan peribadi yang boleh dijadikan teladan oleh generasi akan datang,” ujar beliau.

Kemuncak majlis adalah Titah Diraja oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sebelum pengumuman tokoh-tokoh utama. Sebagai pembuka tirai, majlis akan dimulakan dengan Doa Akhir dan Awal Tahun yang akan diadakan pada Khamis, 26 Jun, jam 6.30 petang di Masjid Negara.

Ia akan dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara, Al-Fadhil Tuan Haji Ehsan Mohd Hosni, dan akan dihadiri Menteri Hal Ehwal Agama, YB Senator Datuk Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar, dengan tausiyyah khas oleh Prof Dato’ Dr Mohd Izhar Ariff (UKM).

Majlis tersebut akan disiarkan secara langsung menerusi RTM (TV1) dan disambung siar oleh TV AlHijrah serta livestreaming di media sosial JAKIM. Lintas langsung turut dilakukan oleh Salam FM, KL FM, Nasional FM, Ai FM (Mandarin), Minnal FM (Tamil), Traxx FM (Inggeris) dan Asyik FM (Radio Orang Asli).

“Kami mengalu-alukan kehadiran media untuk membuat liputan menyeluruh ke atas majlis yang bukan sahaja menyatukan umat Islam, tetapi juga mencerminkan Islam yang mekar di bumi Malaysia,” kataya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas