SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lima individu termasuk tiga pegawai penguat kuasa, seorang pengurus syarikat dan seorang warga asing kerana disyaki bersubahat mendaftarkan pekerja asing di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) Jabatan Imigresen.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 30 Jun terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Amin Rashidi Ramli selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kota Bahru, Kelantan, pagi tadi.
Menurut sumber, kesemua suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 20 hingga 40-an itu telah ditahan kira-kira antara pukul 11 pagi hingga 2.30 petang semalam dalam satu operasi yang dijalankan sekitar Putrajaya dan Kelantan.
“Kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar 2020 sehingga 2021.
“Siasatan awal mendapati tiga pegawai penguat kuasa disyaki menerima wang rasuah berjumlah kira-kira antara RM50,000 hingga RM60,000 bagi permohonan pendaftaran pekerja asing yang dilakukan,” katanya.
Menurut sumber, pada 23 Jun lalu Bahagian Perisikan SPRM menjalankan satu operasi yang dinamakan Op Putih di Kelantan dalam usaha membongkar kegiatan sindiket yang melibatkan beberapa pegawai Imigresen yang disyaki bersubahat dengan ejen-ejen warga asing dalam proses pendaftaran pekerja asing di bawah program RTK secara tidak sah dan bertentangan dengan prosedur yang telah ditetapkan.
Katanya, tumpuan operasi adalah untuk mengekang amalan rasuah dalam kalangan pegawai awam serta melumpuhkan rangkaian sindiket yang terbabit.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Idris Zaharudin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU