Berita

Presiden Iran hubungi PM, minta sampaikan pendirian kepada negara Islam

- Diterbit 24 Jun 2025 8:00 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau telah menerima panggilan telefon daripada Presiden Republik Islam Iran, Masoud Pezeshkian berhubung perkembangan terkini konflik yang semakin memuncak antara Iran dan rejim Zionis Israel.

Menurut Perdana Menteri, Presiden Masoud menyatakan bahawa Iran bersedia menghentikan segala bentuk tindakan ketenteraan dan membuka ruang perdamaian, dengan syarat Israel menghentikan serangan terhadap wilayah-wilayah kedaulatan Palestin dan Iran.

“Presiden Masoud turut memohon jasa baik saya untuk menyampaikan pendirian ini kepada negara-negara Islam lain agar tidak terpengaruh dengan naratif berat sebelah serta memahami konteks sebenar tindakan balas Iran,” kata Anwar dalam Facebook hari ini.k

Malaysia, jelas Perdana Menteri, kekal tegas dengan pendirian untuk mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan Israel ke atas Gaza dan Iran yang telah meragut nyawa rakyat awam serta barisan kepimpinan tertinggi ketenteraan dan saintis Iran.

“Tindakan ini melangkaui batas kemanusiaan dan mencabuli prinsip undang-undang antarabangsa,” tegas beliau.

Pada masa sama, Malaysia menegaskan bahawa keganasan bukan jalan penyelesaian, namun dalam kerangka keadilan sejagat, Iran mempunyai hak yang sah untuk mempertahankan diri terhadap sebarang bentuk pencerobohan.

“Adalah munafik untuk dunia mengiktiraf kekuatan dan hak pertahanan Israel tetapi menolak hak sama yang dimiliki Iran,” tambah Perdana Menteri.

Dalam perbualan itu, Presiden Iran turut menyatakan kesediaan untuk mencari jalan damai dengan semua pihak termasuk Amerika Syarikat dan Israel, sekiranya syarat keadilan dan penghormatan terhadap kedaulatan negara dipenuhi.

Anwar menegaskan bahawa Malaysia sentiasa percaya kepada pendekatan diplomasi dan rundingan sebagai satu-satunya jalan ke arah penyelesaian menyeluruh yang dapat mengelakkan pertembungan berpanjangan di rantau Asia Barat.

“Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai penghubung dan penyampai suara keadilan dalam kalangan negara-negara Islam,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas