AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada semua pertuduhan pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram.
Keputusan itu sekali gus mengenepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun serta dua sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November lalu.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin, mencapai keputusan itu selepas meneliti hujah kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan.
Dalam penghakiman yang dibacakan selama lebih sejam, Hakim Datuk Noorin Badaruddin menegaskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah.
“Kami mendapati pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti dan fakta yang boleh dipercayai bagi menyokong pertuduhan di bawah Seksyen 403 (menyalahgunakan harta),” kata beliau.
Mahkamah juga memutuskan bahawa pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) sebanyak RM1 juta tidak dapat dibuktikan.
Begitu juga dua pertuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan bekas Menteri Belia dan Sukan itu.
“Kami juga mendapati pertuduhan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram tidak dapat dikekalkan. Oleh itu, perayu dibebaskan dan dilepaskan daripada semua pertuduhan,” putus mahkamah.
Sejurus keputusan diumumkan, suasana di dalam mahkamah menjadi pilu apabila Syed Saddiq, yang segak memakai sut hitam, terus mencium tangan dan memeluk erat ibunya yang setia menemaninya sepanjang prosiding.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi kesalahan pecah amanah, serta dua tahun penjara dan satu sebatan bagi kesalahan menyalahgunakan harta.
Beliau juga diperintahkan untuk dipenjara dua tahun dan didenda RM5 juta bagi setiap satu daripada dua pertuduhan pengubahan wang haram.
Dalam prosiding rayuan ini, Syed Saddiq diwakili oleh barisan peguam ternama, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik, manakala pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.-WILAYAHKU