AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan penglibatan pegawai bersekongkol dengan sindiket Phantom Travel.
AKPS dalam kenyataan berkata, akan sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia dalam membuat penambahbaikan pemeriksaan pelawat di pintu-pintu masuk negara terutama di Lapangan Terbangsa Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Dengan adanya penggunaan autogate sepenuhnya bagi pelepasan keluar, pembangunan NIISe dan penggunaan teknologi AI, AKPS percaya isu counter setting, flying passport dan phantom travel yang melibatkan pegawai dapat dikurangkan dan dihapuskan,” ujar AKPS.
Tegasnya, AKPS tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pegawai yang melakukan pelanggaran integriti yang mencemarkan nama baik dan imej jabatan.
“Tindakan dan hukuman akan diambil berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk tindakan buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah.
“AKPS juga mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan salah laku integriti Pegawai AKPS melalui e-mel [email protected] atau hadir sendiri ke Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia, Unit Integriti, Aras 5, Setia Perkasa 7, Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya,” tulis kenyataan itu.
Terdahulu, sindiket Phantom Travel dikatakan tidak merekod pergerakan pelawat yang masuk di pintu masuk negara mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan mengenakan kadar bayaran tertentu bagi mengelak dari dikesan oleh pihak majikan pelawat berkenaan. – WILAYAHKU