PELAKSANAAN Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) tidak boleh bersifat simbolik atau bersandar kepada retorik dasar semata-mata, sebaliknya menuntut komitmen menyeluruh dan kesiapsiagaan jentera kerajaan untuk melaksanakannya secara menyeluruh dan berimpak tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang bertujuan meneliti kerangka dan inisiatif utama RMK13 yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat hujung Julai nanti.
Menurut beliau, kejayaan pelaksanaan RMK13 bergantung kepada keupayaan pentadbiran kerajaan untuk menyelaras, memahami peranan, dan bertindak secara sederap dalam menjayakan dasar yang berpijak pada realiti semasa serta menepati tuntutan masa depan.
“Saya tekankan pentingnya penyelarasan yang kemas. Setiap kementerian perlu tahu apa tanggungjawab mereka dan bersedia melaksanakannya secara strategik.
“RMK13 bukan sekadar dokumen, ia cerminan iltizam kerajaan untuk menyusun semula ekonomi negara dan mengangkat martabat rakyat,” katanya dalam Facebook.
RMK13 yang sedang dimuktamadkan merupakan kesinambungan kepada reformasi dasar Kerajaan MADANI, berpaksikan aspirasi Ekonomi MADANI yang mengutamakan pembangunan mampan, kesejahteraan rakyat, dan pemulihan struktur ekonomi secara menyeluruh.
Mesyuarat tersebut turut membuka ruang kepada para menteri dan pegawai kanan kementerian untuk mengemukakan cadangan, menambah baik strategi pelaksanaan serta menyelaraskan intervensi dasar mengikut bidang masing-masing.
“Kita tidak boleh bekerja dalam silo. Kerajaan mesti tampil sebagai satu pasukan negara yang kukuh, dengan kejelasan arah dan komitmen bersama,” tegas Perdana Menteri.
RMK13 dirangka hasil libat urus intensif antara kementerian, agensi pusat dan kerajaan negeri sejak beberapa bulan lalu, dan akan menjadi kerangka utama pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Dokumen itu dijangka menumpukan kepada pengukuhan daya saing ekonomi, pembangunan wilayah secara inklusif, pembasmian kemiskinan pelbagai dimensi serta peningkatan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam selaras dengan prinsip tadbir urus berintegriti.-WILAYAHKU