Berita

Galak graduan TVET jadi usahawan, “Jangan hanya makan gaji” – Ahmad Maslan

AHMAD Maslan merasmikan program ASEAN TVET Friendly Match 2025 di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur. 
- Diterbit 24 Jun 2025 11:46 AM MYT

PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bakal memberi impak besar kepada ekonomi negara, berikutan perubahan besarnya kepada landskap pekerjaan global.

Bukan setakat itu, TVET juga dilihat sebagai peluang atau platform untuk anak-anak muda menceburi bidang keusahawanan.

Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, kerajaan mahu graduan TVET menjadi usahawan teknikal atau technopreneur yang berjaya di peringkat tempatan dan antarabangsa.

AHMAD Maslan merasmikan program ASEAN TVET Friendly Match 2025 di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur.

Beliau yang juga ahli majlis TVET negara, berkata graduan boleh memanfaatkan kemahiran teknikal yang dimiliki untuk membangun perniagaan sendiri.

“Graduan TVET jangan hanya makan gaji, (mereka) boleh menjadi usahawan, contohnya elektrikal. Mereka pakar bahagian elektrik, tentu mereka boleh membuka kedai yang berkaitan.

“(Selain itu), penyejukan dan penyaman udara, itu sangat laku kalau mereka membuka premis di mana-mana.

“Welding (kimpalan) memang gaji tinggi, saya tak nafikan terutama kimpalan kabel,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program ASEAN TVET Friendly Match 2025, pada Isnin, di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Zainora Zainal.

Mengulas mengenai ASEAN TVET Friendly Match 2025, Ahmad berkata, pertandingan yang dianjurkan buat julung kali itu, bersempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini.

Seramai 40 peserta belia dari 12 negara terdiri dari enam negara ASEAN akan berentap iaitu Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Singapura dan Filipina.

Selain itu, katanya, ia turut disertai enam negara jemputan iaitu Timor Leste, China, Chinese Taipei, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Korea Selatan dan Jepun.

“Pertandingan ini adalah satu platform persediaan kepada pasukan negara yang bakal bertanding ke pertandingan peringkat antarabangsa seperti WorldSkills ASEAN di Manila, Filipina pada Ogos ini dan WorldSkills Asia ke-3 di Taipei pada November tahun ini.

“Kita berharap pasukan Malaysia yang mengambil bahagian dalam semua pertandingan tersebut akan berjaya memenangi hadiah dan anugerah,” katanya.

Bertemakan ‘Bakat untuk Inklusiviti dan Kemampanan’, ASEAN TVET Friendly Match 2025 anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR) dan CIDB Malaysia akan berlangsung dari 24 hingga 26 Jun di empat lokasi sekitar Kuala Lumpur, dengan sembilan bidang kemahiran utama dipertandingkan antaranya kerja bata, pendawaian elektrik, pembuatan kabinet dan kejuruteraan reka bentuk berbantu komputer (CAD).

Malaysia sebagai negara tuan rumah akan diwakili oleh 20 peserta muda berkemahiran tinggi daripada institusi TVET seperti Kolej Vokasional, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kolej Komuniti dan Akademi Binaan Malaysia (ABM). – WILAYAHKU

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas