PRESIDEN Republik Kyrgyz, Sadyr Zhaparov akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 24 hingga 25 Jun ini.
Menurut Wisma Putra, lawatan ini merupakan lawatan julung kali ke Malaysia sejak dilantik sebagai Presiden Republik Kyrgyz pada Januari 2021.
Jelasnya, ia bagi membalas lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Republik Kyrgyz pada Mei 2024.
“Presiden Zhaparov akan diiringi oleh beberapa Menteri Kabinet, termasuk Menteri Luar Negeri, Zheenbek Kulubaev dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
“Presiden Zhaparov akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya pada 25 Jun, diikuti mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala, termasuk kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui, industri halal, agrokomoditi, pelancongan, pendidikan, serta bantuan pembangunan kapasiti melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP),” jelasnya dalam kenyataan.
Wisma Putra menambah, kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin katanya, akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman termasuklah dalam bidang pelancongan, transformasi digital dan keselamatan siber, pendidikan tinggi, kesihatan, promosi perdagangan, kerjasama ekonomi serta kerjasama saintifik dan penyelidikan, dan Pertukaran Nota dalam bidang belia dan latihan diplomat serta Surat Niat dalam kerjasama perundangan.
“Bagi meraikan Presiden Zhaparov dan delegasi, Perdana Menteri akan menghoskan majlis jamuan rasmi di Kompleks Seri Perdana selepas mesyuarat tersebut.
“Presiden Zhaparov juga akan mengadakan lawatan singkat ke Parlimen Malaysia,” katanya.
Pada tahun 2024, Republik Kyrgyz merupakan rakan dagang keempat terbesar dalam kalangan lima negara Asia Tengah, dengan jumlah dagangan dua hala keseluruhan sebanyak RM40 juta (AS$8.74 juta).
Eksport utama Malaysia merangkumi produk elektronik dan elektrik, minyak sawit, produk pertanian berasaskan minyak sawit dan jentera, peralatan dan alat ganti, manakala, import utama dari Republik Kyrgyz pula terdiri daripada produk kimia dan kimia, produk elektronik dan elektrik, dan makanan yang diproses.
Lawatan ini melambangkan hubungan mesra antara Malaysia dan Republik Kyrgyz yang berteraskan kepada prinsip saling menghormati dan kerjasama erat, sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada tahun 1992. – WILAYAHKU