Berita

Seorang lagi ADUN ditahan disyaki minta, terima rasuah RM150,000

- Diterbit 23 Jun 2025 5:30 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM150,000 membabitkan isu pengeluaran lesen cari gali di Sabah.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

“Suspek yang juga merangkap Pembantu Menteri dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2023 dan 2024.

“Siasatan juga mendapati suspek disyaki telah meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM150,000 daripada seorang individu berpangkat Datuk kononnya untuk membantu menguruskan permohonan lesen cari gali di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Tambah beliau, suspek telah dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan sebanyak RM50,000 (tanpa deposit) dengan seorang penjamin dan suspek juga akan didakwa dalam masa terdekat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas