AKTRES terkenal tanah air, Rita Rudaini Mokhtar, 49, melakar satu lagi detik manis dalam perjalanan seninya apabila menerima Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perlis Kali Ke-3 sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-82 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.
Dalam satu majlis penuh istiadat yang berlangsung di Istana Arau, pada Isnin, Rita menerima Pingat Jasa Baik (PJB), sebagai pengiktirafan atas sumbangan dan pencapaian beliau dalam bidang seni tanah air khususnya lakonan, selain usaha murninya dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.
Rita, yang memulakan kerjayanya sejak 28 tahun lalu, dikenali sebagai antara pelakon wanita paling konsisten dan berprinsip dalam industri hiburan tanah air.
Rita melahirkan rasa syukur dan terharu atas pengiktirafan tersebut.
“Saya amat bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis atas penganugerahan ini.
“Ia adalah satu penghormatan besar dan saya anggap sebagai rezeki bukan hanya untuk diri saya, tetapi juga buat anak-anak serta semua yang sentiasa menyokong perjalanan seni saya,” katanya.

Rita berkata, penghargaan ini menyuntik semangat dirinya untuk terus berkarya dengan lebih tekun dan berintegriti.
“Ini juga menjadi peringatan bahawa setiap usaha yang ikhlas dan jujur akan ada nilainya, lambat atau cepat.
“Saya berharap agar pengiktirafan ini turut menjadi inspirasi kepada anak seni lain agar terus berkarya dengan penuh dedikasi dan menjaga maruah profesion sebagai insan seni,” katanya.
Pada masa sama, Rita menzahirkan setinggi penghargaan kepada kerajaan Negeri Perlis dan semua pihak yang banyak memberi sokongan sepanjang kerjayanya.
“Terima kasih kepada Exco Kerajaan Negeri yang terbabit atas pengiktirafan ini. Insya-Allah, akan ada banyak aktiviti bersama mereka nanti. Tidak terkecuali kepada semua pihak seperti penerbit, pengarah dan penggiat seni yang sentiasa menghargai bakat saya.
“Tidak dilupakan kepada semua rakan media dan peminat yang tanpa henti memberi sokongan. Dari dulu sampai sekarang,” katanya.
Penganugerahan yang berlangsung hari ini turut menyaksikan beberapa tokoh lain dari pelbagai bidang menerima darjah kebesaran masing-masing. – WILAYAHKU