Berita

Fatwa Liberalisme: Laporan media tidak tepat, hanya sebahagian diketepikan – PPMM

- Diterbit 19 Jun 2025 1:00 PM MYT

PERSATUAN Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) hari ini menegaskan bahawa laporan beberapa media yang mendakwa Fatwa Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Agama 2014 telah dibatalkan sepenuhnya adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Menurut Presiden PPMM, Muhamad Hisham Marzuki, keputusan Mahkamah Persekutuan sebenarnya hanya mengetepikan sebahagian fatwa yang berkait dengan aspek luar bidang kuasa negeri dan pemakaian terhadap entiti bukan individu.

“Keputusan Mahkamah adalah bersifat terperinci. Teras utama fatwa yang menyentuh soal akidah individu Muslim kekal sah dan berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan media.

PPMM menjelaskan bahawa Mahkamah hanya mengetepikan beberapa perenggan tertentu dalam fatwa, manakala bahagian utama yang melibatkan individu Muslim kekal sah.

“Antara bahagian fatwa yang disahkan dan masih berkuat kuasa ialah, Perenggan 1, Menyatakan bahawa mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam dan Perenggan 4, Menyebut bahawa individu tersebut hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam,”katanya.

Muhamad Hisham menjelaskan bahawa mahkamah bagaimanapun mengetepikan pemakaian fatwa terhadap SIS Forum (Malaysia) kerana ia merupakan sebuah syarikat dan bukan individu.

Justeru itu, mahkamah mentafsirkan frasa “persons professing the religion of Islam” dalam Perlembagaan sebagai merujuk kepada manusia sebenar (natural persons), bukan entiti buatan seperti syarikat atau pertubuhan.

“Sebuah syarikat tidak boleh melaksanakan Rukun Islam seperti solat, puasa atau taubat, justeru fatwa tidak boleh terpakai kepada entiti sebegitu,” katanya.

Tambah Muhamad Hisham, dua perenggan lain dalam fatwa juga diketepikan kerana melangkaui bidang kuasa negeri, iaitu Perenggan 2, berkait pengharaman dan rampasan bahan terbitan dan Perenggan 3, arahan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat laman sosial.

PPMM menjelaskan bahawa isu pengharaman penerbitan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, manakala sekatan internet tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menjelas lanjut, Muhamad Hisham berkata walaupun fatwa tidak boleh dikenakan ke atas syarikat, individu-individu yang menggerakkan entiti itu tetap terikat dengan fatwa tersebut.

Katanya, mahkamah menegaskan bahawa kebertanggungjawaban individu tetap wujud, berdasarkan Perenggan 1 dan 4 yang masih sah.

“Oleh itu, tidak timbul isu sesiapa terlepas daripada tanggungjawab agama, hanya kerana beroperasi melalui pertubuhan atau syarikat,”katanya.

PPMM turut menggesa pihak media agar melaporkan keputusan kehakiman dengan tepat dan beretika, bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Laporan yang tidak lengkap atau sensasi boleh menjejaskan kefahaman umum terhadap keputusan mahkamah dan prinsip Islam,” tegasnya.

Muhamad Hisham berkata secara keseluruhan, Mahkamah Persekutuan hanya mengetepikan bahagian fatwa yang melangkaui bidang kuasa negeri dan pemakaiannya kepada entiti bukan manusia.

Jelas beliau, bahagian yang menyentuh akidah individu Muslim tetap sah dan tidak dibatalkan, mengukuhkan pendirian bahawa liberalisme dan pluralisme agama bercanggah dengan ajaran Islam.

“Fakta dan undang-undang perlu diutamakan. PPMM menyeru semua pihak berhati-hati agar laporan media tidak memesongkan persepsi rakyat,” kata Hisham.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas