Putrajaya

Perbadanan Putrajaya atasi masalah parkir Pangsapuri Fasa 4B

FADLUN (dua kanan) ketika meninjau Projek Pembinaan Tempat Letak Kereta Bertingkat Presint 8.
- Diterbit 21 Jun 2025 11:04 AM MYT

ISU kekurangan tempat letak kenderaan yang sekian lama membelenggu penduduk Pangsapuri Fasa 4B, Presint 8 akhirnya menemui titik penyelesaian dengan siapnya Projek Pembinaan Tempat Letak Kereta Bertingkat yang mula dibina sejak 2021.

Projek yang mengambil masa dua tahun lima bulan untuk disiapkan itu kini menyediakan sebanyak 114 lot parkir kereta, termasuk lima lot khas untuk orang kurang upaya (OKU), serta 52 lot parkir motosikal, sekali gus memberi kelegaan besar kepada komuniti setempat yang sebelum ini terpaksa meletakkan kenderaan di bahu jalan dan laluan pejalan kaki.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud, pembinaan fasiliti tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan keselesaan rakyat, khususnya golongan penjawat awam yang menetap di kuarters kerajaan.

“Objektif utama pembinaan adalah untuk menangani kekurangan ruang parkir bagi penduduk Fasa 4B dan mengelakkan limpahan kenderaan yang diletakkan di tepi-tepi jalan utama, sekali gus mengurangkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Kemudahan ini bukan sekadar menyelesaikan isu ruang parkir, malah menyumbang kepada penyusunan lalu lintas yang teratur dan suasana perumahan yang lebih selamat. Ini seiring dengan agenda pembangunan bandar pintar Putrajaya yang menekankan kecekapan dan kesejahteraan penduduk.

“Projek tersebut turut direka bentuk dengan ciri mesra OKU termasuk penyediaan ramp khas dan spesifikasi bangunan yang mematuhi Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) bagi memastikan kemudahan ini inklusif untuk semua golongan pengguna,” katanya kepada Wilayahku.

Selain itu, beliau berkata cabaran pelaksanaan pula bukanlah sesuatu yang mudah apabila projek ini bermula ketika negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

“Sekatan pergerakan ketika itu memberi kesan langsung kepada kelancaran proses pembinaan, namun projek tetap berjaya disempurnakan mengikut tempoh ditetapkan,” katanya.

Menjawab pertanyaan mengenai potensi peluasan inisiatif ini ke presint lain, Fadlun berkata pihaknya selaku Agensi Pelaksana dan Penguasa Projek sentiasa komited untuk melaksanakan projek seumpama ini bergantung kepada peruntukan yang disediakan oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan.

“Projek seperti ini akan terus dipertimbangkan dan dilaksanakan berdasarkan keperluan semasa dan kemampuan bajet. Kita mahu pastikan setiap pembangunan benar-benar memberi manfaat kepada komuniti.

“Bagi memastikan kemudahan kekal berfungsi dengan baik, PPj akan melantik Kontraktor Penyelenggaraan Bangunan dan bekerjasama rapat dengan Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) selaku pemilik bangunan untuk mengelakkan penyalahgunaan serta memastikan aspek penyelenggaraan dilaksanakan secara berkala,” katanya.

Tambah beliau mengenai caj penggunaan kemudahan, perkara tersebut akan ditentukan oleh BPH dan tertakluk kepada dasar yang ditetapkan dari semasa ke semasa.

“Dalam jangka panjang, projek ini dijangka memberi impak besar dari sudut kesejahteraan, keselamatan dan keselesaan penduduk, selain meningkatkan imej kawasan perumahan.

“Kami berharap kemudahan ini akan menjadi penyelesaian kekal dan memberi nilai tambah kepada kehidupan harian penduduk di Presint 8,” katanya.

Projek ini menjadi satu lagi contoh keberhasilan inisiatif kerajaan dalam memenuhi keperluan rakyat secara berfokus, inklusif dan lestari.

PENGHUNI LEGA

KEWUJUDAN kemudahan tempat letak kereta bertingkat yang baharu bukan sahaja memberi keselesaan kepada penduduk Pangsapuri Fasa 4B Presint 8, bahkan meringankan beban mereka yang sebelum ini terpaksa meletakkan kenderaan jauh dari kediaman.

LOKHANA

Bagi Lokhana Lokman, 54, yang telah menetap di kawasan itu selama 24 tahun, masalah parkir mula timbul apabila jumlah penduduk semakin bertambah saban tahun.

“Pada awal-awal tinggal dulu, masalah parkir tak timbul. Tapi bila penghuni makin ramai, memang susah nak cari parkir,” katanya kepada Wilayahku.

Menurut suri rumah berkenaan, kemudahan yang baru siap itu dilihat sangat membantu, khususnya kepada dirinya dan suami yang mengalami masalah lutut kronik.

“Memang memudahkan saya dan suami sebab kami ada masalah lutut dan susah nak naik tangga. Sekarang dah lebih dekat dan senang,” katanya yang turut merakamkan penghargaan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini.

Bagi Mohd Nazeri Mahzan, 58, yang telah menetap di Putrajaya sejak 2002, masalah parkir bukanlah isu baharu dan telah lama dirasai di kebanyakan kawasan pangsapuri di wilayah itu.

MOHD NAZERI

“Masalah parkir bukan hanya di Fasa 4B, tapi hampir semua kawasan pangsapuri di Putrajaya. Jadi apabila ada parkir bertingkat ini, ia memang banyak membantu,” katanya.

Tambah beliau reka bentuk yang luas serta penyediaan lif memberi manfaat besar khususnya kepada penduduk Blok B dan C.

“Dengan adanya lif dan banyak lot parkir, memang sangat memudahkan. Sekarang pergerakan kenderaan juga lebih lancar dan kita tak perlu lagi buang masa cari parkir setiap hari,” katanya yang turut memuji usaha kerajaan yang dilihat prihatin terhadap keperluan penduduk dengan menyediakan infrastruktur yang bersesuaian.

Dalam pada itu, Mohd Nazeri berharap semua penduduk dapat menggunakan kemudahan tersebut secara berhemah dan bertimbang rasa.

“Gunalah kemudahan ini sebaiknya. Jangan lagi parkir sembarangan di tepi jalan kerana itu menyusahkan pergerakan keluar masuk kenderaan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Nur Arfah Razak, 32, menyifatkan usaha kerajaan ini sebagai bukti keprihatinan terhadap kebajikan penjawat awam yang menetap di kuarters berkenaan.

NUR ARFAH

“Ramai yang duduk di sini adalah kakitangan kerajaan, dan ada yang sudah bertahun-tahun berkhidmat. Dengan adanya parkir bertingkat ini, ia memberi motivasi dan rasa dihargai kepada kami,” katanya.

Menurutnya pembinaan struktur bertingkat tersebut bukan sahaja menyelesaikan isu ruang, tetapi turut meningkatkan imej kawasan perumahan.

“Struktur bertingkat ini dibina dengan reka bentuk moden dan sesuai dengan persekitaran Putrajaya. Ia menjadikan kawasan ini kelihatan lebih tersusun dan profesional, berbeza dengan sebelum ini yang agak sesak dan tidak teratur,” kata penjawat awam itu.

NAZRI

Sementara itu, Nazri Osman, 53, menyifatkan projek ini sebagai pelengkap kepada keperluan infrastruktur kediaman di Presint 8 yang terus berkembang.

“Putrajaya adalah bandar moden yang seharusnya menyediakan kemudahan yang setara. Kemudahan parkir ini bukan sahaja menyelesaikan isu semasa, tetapi juga bersifat jangka panjang bagi menampung keperluan masa hadapan.

“Dengan siapnya projek ini, warga kuarters Pangsapuri Fasa 4B bukan sahaja menikmati ruang parkir lebih luas dan selamat, malah dapat hidup dalam persekitaran yang lebih teratur seiring dengan aspirasi Putrajaya sebagai bandar dalam taman yang moden dan berdaya huni,” katanya.

Majlis penyerahan rasmi projek telah disempurnakan oleh Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud, baru-baru ini.

Projek tersebut diharap dapat memperkukuh kesejahteraan hidup warga kuarters selain mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyediakan infrastruktur yang responsif dan mesra rakyat.

Projek ini turut selari dengan aspirasi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang menekankan kepentingan penyediaan kemudahan awam berkualiti untuk kesejahteraan warga kota. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas