Berita

Tiga unit PRIME bakal dibangunkan

FAHMI dan tetamu kehormat bergambar di hadapan kenderaan PRIME.
- Diterbit 21 Jun 2025 10:05 AM MYT

SISTEM Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) telah direka dengan keupayaan untuk menggabungkan jalur lebar (bandwith bonding) daripada sambungan satelit dan rangkaian selular bagi membolehkan capaian Internet berkelajuan tinggi disediakan dengan lebih stabil dan efisien.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata liputan Internet itu boleh mencapai sejauh 150 meter di sekeliling kenderaan PRIME dengan sokongan titik capaian Wi-Fi (Wi-Fi Access Point) yang berfungsi untuk memperluas jangkauan apabila perkhidmatan diperlukan.

“Selain itu, PRIME turut dilengkapi dengan sistem radio mudah alih yang membolehkan komunikasi di kawasan yang langsung tiada liputan atau apabila rangkaian terganggu.

“Bagi memperluas liputan kawasan operasi, PRIME juga menggunakan teknologi Wi-Fi jejaring (mesh Wi-Fi) serta sokongan dron untuk memanjangkan isyarat Wi-Fi.

“Keseluruhan sistem PRIME ini dikuasakan oleh bateri berkapasiti tinggi dan disokong oleh bekalan kuasa utama bagi memastikan operasi yang berterusan tanpa gangguan,” katanya.

Selain itu, katanya sebanyak tiga unit PRIME akan dibangunkan secara berperingkat sepanjang tahun ini yang mana unit pertama akan ditempatkan di ibu pejabat MCMC bagi menyokong operasi di Semenanjung.

“Dua unit lagi akan disiapkan menjelang akhir tahun ini dan ditempatkan di pejabat MCMC di Sabah dan Sarawak. Ia melibatkan kos sebanyak RM1 juta bagi setiap unit,” katanya.

ANTARA teknologi yang melengkapi PRIME bagi tujuan operasi.

Dalam pada itu, Fahmi turut menjelaskan selain peranannya dalam pengurusan bencana dan kecemasan, PRIME juga boleh dimanfaatkan bagi menyokong program jangkauan komuniti termasuklah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang berfungsi sebagai hab digital kepada komuniti setempat.

“Dengan wujudnya PRIME, NADI dapat beroperasi sebagai pusat digital bergerak yang membolehkan akses Internet dibawa terus ke kawasan sasaran komuniti setempat.

“Inisiatif ini memperluas capaian perkhidmatan digital dan memudahkan pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sekali gus perkukuh penyampaian maklumat yang lebih inklusif dan responsif.

“Ini merupakan satu langkah strategik ke arah mewujudkan ekosistem komunikasi yang lebih menyeluruh dan berperanan sebagai pemangkin kepada transformasi digital masyarakat selaras aspirasi negara untuk memastikan tiada golongan masyarakat yang tercicir daripada arus pembangunan negara,” jelasnya.

Fahmi berkata inisiatif ini bukan hanya menandakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkasa landskap komunikasi negara malah mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan kelangsungan komunikasi dalam apa jua keadaan.

“Lebih dari itu, PRIME turut berperanan sebagai pemangkin kerjasama strategik antara MCMC dengan pelbagai agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta pihak yang berkepentingan khususnya ketika berhadapan dengan bencana atau situasi kecemasan.

“Saya harap keupayaan untuk bertindak secara tangkas, selaras dan bersepadu melalui platform komunikasi seperti PRIME mampu memberi impak yang besar dalam melindungi nyawa dan menyelamatkan harta benda,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata MCMC juga akan diminta untuk meneliti penggunaan PRIME selepas sesuatu tempoh, bertujuan mengkaji ruang penambahbaikan dan aspek kesesuaian PRIME.

“Kita jangkakan mungkin pada Oktober ini kita boleh laksanakan beberapa dry run, test run bersama dengan pasukan terutama di negeri-negeri yang akan berdepan dengan Monsun Timur Laut dan bagaimana persiapan kepakaran yang dilakukan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas