‘PANAS’ dan kecoh minggu ini isu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Apa yang tidak sedap didengar apabila terdapat segelintir warganet mendakwa kerajaan sengaja mahu membebankan rakyat dengan pelaksanaan peluasan SST pada Julai ini.
Kata mereka kerajaan hanya pandai kerah keringat rakyat disebabkan pentadbiran negara yang gagal menguruskan ekonomi dengan baik.
Kegagalan dan ketidakcekapan kerajaan mengurus ekonomi akhirnya rakyat yang kena tanggung, kata mereka. Ia sekadar mahu menutup kelemahan kerajaan apabila ekonomi jatuh merudum.
Menurut mereka lagi rakyat masih merasai keperitan akibat kenaikan kadar SST dari enam kepada lapan peratus serta kenaikan harga diesel yang dilaksanakan pada tahun lalu.
Berikutan itu, terdapat suara-suara yang menggesa pelaksanaan semula GST berbanding SST.
Tahukah anda? Sebenarnya kerajaan mempertahankan tindakan memperluas skop SST sebanyak lima peratus ke atas barangan pilihan tertentu termasuk buah-buahan import.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata pelaksanaan GST akan menyebabkan semua rakyat tanpa terkecuali termasuk golongan miskin dikenakan cukai.
Menurutnya ia berbeza berbanding SST yang baharu diperluas dan disifatkan memberi kesan kepada rata-ratanya golongan kaya.
“Fahami ekonomi sedikit yang GST menyebabkan semua perlu bayar cukai. Itu memang sistem baik sebab memang senang cukaikan semua orang, tetapi saya nak tanya, hendak dicukaikan jugakah nelayan, pekebun kecil, pekerja bawahan, tukang cuci jalan dan sebagainya?
“Oleh sebab itu kita kata belum bersedia dengan GST, kalau esok ekonomi kita meningkat, gaji minimum semua RM4,000 ke atas, cukailah GST pun, sekarang ini belum,” katanya.
Anwar juga menjelaskan kekeliruan terhadap sistem SST ini menyebabkan timbulnya salah faham dan akhirnya mengkritik usaha kerajaan untuk memberi manfaat kepada seluruh rakyat di negara ini.
“Ada yang sampai marah, mengamuk bila anggap kita kenakan SST ini terhadap mereka yang susah payah tanam pisang di Lumut ini (tempatan).
“Sedangkan ia (dikenakan SST) adalah pisang import. Pisang emas, pisang awak, pisang rastali, pisang berangan yang di sini (tempatan) tidak dicukai.
“Buah import seperti avokado, ia mahal sebab buah import dan kalau awak orang berpendapatan tinggi, orang kaya nak makan avokado, makanlah tetapi bayarlah lebih sedikit (SST).
“Begitu juga (umpamanya) bagi ikan kod yang diimport dari Alaska. Ia ikan mahal jadi kita cukai SST,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Program MADANI Rakyat 2025 Perak di Lumut Waterfront, baru-baru ini.
Terdahulu, akhbar melaporkan peluasan skop SST oleh Kementerian Kewangan merangkumi cukai jualan sebanyak lima peratus ke atas semua buah import berkuat kuasa 1 Julai ini.
Selain buah-buahan import, barangan pilihan tertentu seperti ‘king crab’, salmon, kod, cendawan trufl, essential oil, kain sutera dan jentera industri akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus. – WILAYAHKU