PENYANYI, Sheqal atau Shaharim Salehuddin, 60, meninggal dunia dalam tidur di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) , Seremban, Negeri Sembilan kira-kira jam 12.31 tengahari tadi.
Berita pemergian penyanyi yang terkenal dengan lagu Cinta Nusantara itu disahkan isterinya Normah Mohd Yusoff, 58.
Sheqal dimasukkan ke HTJ pada 4 Jun lalu sebelum ditidurkan dua hari kemudian akibat paras oksigen yang menurun berikutan jangkitan kuman pada paru-paru serta paru-paru berair.
Sejak 2020, Sheqal mengalami serangan angin ahmar sebanyak empat kali sehingga dia mengalami kesukaran untuk bergerak dan terpaksa bergantung kepada kerusi roda.
Jenazah Sheqal dijangka akan dibawa ke kampung halamannya di Raub, Pahang untuk dikebumikan.
Sheqal mempunyai dua cahaya mata bersama Normah iaitu Muhammad Fatullah Shaharim, 21, dan Ummu Hani Shaharim, 20.
Allahyarham sebelum itu pernah berkahwin dengan aktres popular Raja Ema pada 1993 , namun bercerai pada 1999, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putera Ammar dan Putera Al Kasyah.-WILAYAHKU