PENYANYI Rayme Zainal menafikan dakwaan yang mengatakan dirinya merajuk dalam dunia nyanyian.
Dakwaan ini timbul apabila pelantun lagu Andai dan Close To You itu dilihat lebih aktif dalam bisnes seperti penganjuran acara.
Kata Rayme, 47, karier nyanyian hanya dijadikan sebagai hobi serta pekerjaan tambahan sahaja kerana dia lebih selesa menjadi pengurus yang menjanjikan jaminan pendapatan tetap.
“Betul buat masa ini hanya lebih fokus kepada pengurus ini kerana rezeki dalam perniagaan ini lebih berpihak kepada selain mendatangkan duit terlebih dahulu.
“Tiada Istilah merajuk atau putus asa dalam kerjaya nyanyian. Ini kerana nyanyian adalah jiwa saya.
“Apa yang boleh saya katakan, nyanyian ini saya hanya buat sekadar pendapatan tambahan sahaja. Kalau ada undangan nyanyian baru saja saya aktif balik namun dalam perancangan mengeluarkan single terbaru.
“Kalau hendak kata rindu menyanyi memang tidak diakui namun saya masih boleh menyanyi di acara yang saya anjurkan bahkan begitu setiap kali lagu saya keluar masih lagi ada sambutan juga,” katanya.
Rayme pernah menyertai pertandingan realiti TV, All Together Now pada tahun 2022 dan sebelum ini, lagu-lagunya seperti Andai dan Close To You mendapat perhatian pendengar-pendengar aplikasi Spotify.
Sepanjang Ramadan lalu, Rayme menerusi syarikatnya, Raydiates Blue Sdn. Bhd. berjaya menganjurkan Bazar Aidiltri Anjung Syawal iaitu sebahagian daripada Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2025 selama 33 hari.

Bazar Raya terbesar di Lembah Klang itu mendapat sambutan luar biasa pengunjung yang tidak putus-putus berbelanja sehingga mampu menjana jualan RM10 juta kepada lebih 300 peniaga.
Mengulas lanjut, Rayme menyasarkan penganjuran acara bertaraf antarabangsa pada skala besar pada tahun hadapan dalam usaha merancakkan lagi industri pelancongan di negara ini.
Beliau berkata, langkah itu melebarkan usaha syarikat yang bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa melalui penganjuran festival seni dan budaya pada tahun ini dengan sokongan daripada agensi kerajaan dan dengan kolaborasi bersama sektor korporat. – WILAYAHKU