MINYAK zaitun dikenali sebagai antara bahan semula jadi yang mempunyai pelbagai manfaat untuk kesihatan dan kecantikan. Permintaannya yang tinggi di pasaran global, termasuk di Malaysia telah menjadikan produk ini semakin popular dalam kalangan pengguna yang mementingkan gaya hidup sihat.
Namun begitu, peningkatan permintaan ini turut membuka ruang kepada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan dengan mengedarkan minyak zaitun tiruan.
Lambakan produk palsu ini bukan sahaja mengelirukan pengguna, malah boleh menjejaskan kesihatan serta menimbulkan kerugian ekonomi kepada pengeluar sah.
Menyedari hal tersebut, Olive Jardine Sdn Bhd (Olive Jardine) yang merupakan pengeluar dan pengedar produk Zoutina Prestige tampil berkongsi hasil daripada kajian kerjasama dengan Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada tahun lalu.
Bertempat di Hotel Sama-Sama, KLIA baru-baru ini, Sidang Kemuncak Minyak Zaitun Malaysia yang pertama menghimpunkan pihak berkepentingan di dalam industri minyak zaitun, pengusaha, pemasar, ahli akademik serta pihak berkuasa untuk berkongsi maklumat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Olive Jardin, Muhd Shakir Assalam Ya, aspek utama yang ingin dibawa kepada pengetahuan awam adalah berkaitan isu kualiti minyak zaitun.
“Apa yang paling penting, di sebalik giat memasarkan minyak zaitun, kami mahu mendidik masyarakat agar mereka sedar betapa pentingnya mengenali minyak zaitun yang terdapat di pasaran saat ini.
“Kajian tersebut memanfaatkan minyak zaitun perahan dara atau extra virgin olive oil (EVOO) dari variasi tuaian muda (early harvest) yang dipasarkan Olive Jardin Sdn Bhd iaitu Zouitina Prestige (ZPEVOO).
“Selain ZPEVOO, kajian turut membuat perbandingan dengan dua variasi minyak zaitun yang dilabel sebagai EVOO A dan EVOO B. Bagi memastikan kualiti minyak zaitun yang digunakan untuk tujuan kajian, kesemua sampel dihantar ke makmal di Sepanyol yang menerima akreditasi Majlis Zaitun Antarabangsa (IOC) untuk diuji,” ujar beliau.
Turut hadir, Dekan Fakulti Perubatan UniSZA, Profesor Dr Harmy Mohamed Yusoff; Ketua penyelidik kajian yang merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan UniSZA, Dr Noor Azlina Abu Bakar dan Ketua Jabatan R&D Olive Jardin Sdn Bhd, Dr Suhana Samat.
Sementara itu, Profesor Harmy berkata, salah satu variasi iaitu EVOO B tidak menepati kualiti yang didakwa. Meskipun dalam aspek physicochemical analysis, tiga parameter utama berada di dalam julat EVOO, bacaan sampel tersebut untuk parameter lain yang digariskan IOC dan EU tidak berada dalam julat EVOO.

“Ini selanjutnya disahkan melalui organoleptic assessment di mana sampel ini dikelaskan sebagai Lampante Olive Oil (LOO) iaitu gred yang ditafsirkan oleh IOC dan EU sebagai tidak selamat untuk dimakan secara langsung. LOO perlu disuling kepada Refined Olive Oil (ROO) sebelum ia selamat untuk dimakan,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, beliau berkata, lambakan minyak zaitun yang ada di pasaran tanpa mendapat pengesahan IOC boleh memberi kesan kepada kesihatan dalam jangka masa panjang.
“Kita dapat lihat ramai pengguna yang tertipu dalam memilih minyak zaitun kerana keliru lebih-lebih lagi produk tersebut bersandar kepada pempengaruh serta selebriti yang bertindak sebagai duta.
“Namun, sebagai pengguna, tip yang paling mudah untuk mengenal pasti sama ada minyak zaitun perahan dara adalah semula jadi, ia mempunyai aroma, bau dan rasa buah segar serta ringan untuk diminum.
“Ia berbau seperti rumput atau daun berbanding yang palsu lebih kepada bau gas serta tengik sehingga membuat pengguna terpaksa menelan sambal menutup hidung,” ujar beliau minyak zaitun extra virgin Zoutina Prestige berjaya meraih pelbagai anugerah pertandingan minyak zaitun di peringkat antarabangsa.
Katanya lagi, kajian yang dijalankan memberi bukti manfaat kesihatan EVOO. Kesemua dapatan kajian yang dibentangkan pada Sidang Kemuncak Minyak Zaitun Malaysia yang pertama dihadapan wakil-wakil dari Institut Pengajian Tinggi (IPTA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Diharapkan dapatan kajian ini menjadi pemangkin usaha bersepadu dari semua pihak untuk menambah baik isu kualiti dan kesihatan minyak zaitun,” ujar beliau. – WILAYAHKU