Putrajaya

Kad Nadi Putrajaya perkasa sistem pengangkutan awam

- Diterbit 17 Jun 2025 11:00 AM MYT

DALAM usaha memperkasa sistem pengangkutan awam yang lebih efisien dan inklusif, Perbadanan Putrajaya (PPj) memperkenalkan inisiatif Kad Nadi Putrajaya kepada pengguna perkhidmatan Bas Nadiputra yang merangkumi dua kategori utama, iaitu Kad Nadi 30 dan Kad Nadi 10.

Menurut Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud, Kad Nadi 30 ditawarkan kepada semua pengguna tanpa mengira latar belakang atau kategori umur.

“Pemohon dikehendaki memuat naik salinan MyKad semasa proses permohonan dan hadir secara fizikal ke Kaunter Pusat Khidmat Pelanggan PPj di Presint 3 bagi tujuan pengesahan dokumen asal sebelum kad dapat dituntut.

“Kad Nadi 10 disasarkan kepada tiga golongan utama iaitu warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta pelajar sekolah rendah dan menengah yang menetap atau menggunakan perkhidmatan bas di sekitar Putrajaya.

“Bagi warga emas, kad ini terbuka kepada individu berumur 60 tahun ke atas. Permohonan perlu disertakan salinan MyKad dan pengesahan kad dilakukan secara fizikal dengan membawa dokumen asal ke kaunter,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata golongan OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mengalami kecacatan penglihatan, pendengaran, psikiatri, pertuturan, pembelajaran atau kecacatan fizikal lain, layak untuk memohon Kad Nadi 10.

“Permohonan hendaklah disertakan salinan MyKad dan kad OKU JKM yang masih sah tempoh laku, manakala pengesahan dilakukan dengan membawa kedua-dua dokumen asal semasa tuntutan kad.

“Pelajar sekolah rendah dan menengah turut diberi keutamaan dalam skim ini. Kad ini terbuka kepada pelajar tahun 1 hingga tahun 6 bagi sekolah rendah dan tingkatan 1 hingga tingkatan 5 bagi sekolah menengah, berdasarkan tahun kelahiran antara tujuh hingga 17 tahun.

“Pemohon perlu memuat naik salinan MyKad, MyKID atau surat beranak, bersama surat pengesahan pelajar yang dikeluarkan oleh pihak sekolah. Pengesahan identiti juga dilakukan di kaunter menerusi semakan dokumen asal,” katanya.

Tambahnya bagi kedua-dua jenis kad, semua pemohon wajib hadir sendiri ke Kaunter Pusat Khidmat Pelanggan PPj di Presint 3 untuk proses verifikasi dan pengambilan kad bagi memastikan ketelusan dan kesahihan identiti pengguna.

Melalui pelaksanaan Kad Nadi ini, PPj menyasarkan untuk menggalakkan lebih ramai penduduk Putrajaya menggunakan pengangkutan awam secara konsisten dan berpatutan.

Inisiatif ini turut menyokong aspirasi pembangunan bandar hijau dan lestari dengan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian, selaras dengan visi Putrajaya sebagai bandar pintar yang mampan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas