Putrajaya

Perbadanan Putrajaya tingkat pengurusan KKP

BENGKEL yang dilaksanakan diharap dapat memperkukuh pelaksanaan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam setiap projek pembangunan di bawah kendalian PPj.
- Diterbit 17 Jun 2025 10:11 AM MYT

PERBADANAN Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menganjurkan Bengkel Pemantapan Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) sebagai langkah proaktif dalam meningkatkan tahap pematuhan terhadap peraturan baharu yang mula dikuatkuasakan pada 1 Jun 2024.

Menurut Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud, bengkel itu diadakan khusus untuk memperkukuh pengetahuan dan kefahaman warga kerja PPj terhadap pengurusan KKP di tapak pembinaan sejajar dengan Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024.

“Objektif utamanya adalah untuk memastikan semua pihak yang terlibat dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing secara lebih berkesan dan mematuhi piawaian perundangan yang dikuatkuasakan oleh JKKP.

“Difokuskan kepada warga kerja PPj, bengkel ini mengambil kira peranan penting PPj sebagai ‘klien’ dan pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab meluluskan, memantau dan menyelia pelaksanaan projek pembangunan di Putrajaya.

“Peraturan baharu ini memperincikan kewajipan semua pihak yang terlibat bagi meningkatkan prestasi KKP di tapak bina,” katanya kepada Wilayahku.

Fadlun berkata sepanjang bengkel, peserta mengikuti tiga slot utama yang disampaikan oleh wakil JKKP antaranya taklimat berhubung peraturan-peraturan baharu berkaitan reka bentuk dan pengurusan, Pemberitahuan Tempat Kerja (PEMTK) serta panduan pengisian borang JKKP 12 dan proses pemutihan data maklumat projek.

“Kerjasama strategik antara PPj dan JKKP dalam penganjuran bengkel ini merangkumi perkongsian kepakaran teknikal oleh JKKP selaku agensi penguat kuasa utama dalam aspek keselamatan pekerjaan di Malaysia.

“Kerjasama seumpama ini akan diteruskan pada masa hadapan menerusi pelaksanaan program seperti audit keselamatan, kempen kesedaran, promosi serta latihan berterusan dalam usaha mewujudkan budaya kerja selamat dan sihat dalam kalangan warga kerja.

“PPj sebagai pemilik projek mempunyai peranan besar dalam merancang, mengelola dan melaksanakan sesuatu projek secara bertanggungjawab,” katanya.

Justeru, beliau menekankan keperluan perancangan menyeluruh merangkumi peruntukan dana, masa dan sumber yang mencukupi bagi memastikan aspek keselamatan tidak diabaikan.

“Semua peserta perlu memahami peraturan yang telah mula berkuat kuasa agar dapat diaplikasikan secara konsisten dalam projek-projek yang dikendalikan.

“Ia selaras dengan tanggungjawab PPj di bawah Peraturan 8(1) untuk membuat perancangan, pengurusan, pemantauan dan penyelarasan KKP secara lebih sistematik dan efisien.

“Antara langkah konkrit yang telah diambil oleh PPj termasuk pelantikan wakil pekerja sebagai pasukan pemantau dalaman di tapak projek, menjalinkan kerjasama erat dengan JKKP untuk sesi latihan dan penguatkuasaan serta pelaksanaan audit melalui borang senarai semak Occupational Safety and Health Project Assessment (OSHPA) yang diintegrasi dalam sistem MyKKP,” katanya.

Fadlun berkata impak yang diharapkan daripada penganjuran bengkel ini adalah peningkatan kompetensi pegawai teknikal PPj dalam aspek keselamatan, pematuhan terhadap perundangan yang boleh mengurangkan risiko kemalangan, peningkatan tahap pemantauan dan penguatkuasaan dalaman serta pemantapan imej PPj sebagai klien yang bertanggungjawab.

“Kami turut merancang untuk meneruskan siri latihan dan bengkel berkaitan KKP pada masa hadapan dengan memberi tumpuan kepada isu-isu khusus yang selari dengan kehendak Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022).

“PPj melihat latihan seperti ini bukan sekadar pengisian pengetahuan, malah sebagai medium memperkukuh kesedaran dan tanggungjawab bersama semua pihak, mengurangkan insiden kerja, serta menjamin kelestarian kualiti projek pembangunan di Putrajaya yang selari dengan visinya sebagai bandar raya mampan bertaraf dunia,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas