Berita

Pengarah PBT disyaki salah guna kuasa labur saham RM50 juta ditahan

Foto: BERNAMA
- Diterbit 16 Jun 2025 9:00 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah sebuah Jabatan Kewangan pihak berkuasa tempatan (PBT) disyaki menyalahgunakan kuasanya melabur saham kira-kira RM50 juta.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira pukul 1 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.

“Suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 2020 hingga 2023 dengan melantik isterinya yang bekerja di sebuah bank sebagai ejen pelaburan bagi pelaburan saham berjumlah kira-kira RM50 juta.

“Siasatan awal mendapati suspek juga dipercayai menggunakan dana wang awam dan juga wang amanah tanpa kelulusan pegawai pengawal kewangan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka esok untuk tujuan permohonan reman. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas