SILIBUS program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara bukan sahaja melalui saringan ketat oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), malah dirangka dengan penglibatan langsung pemain industri bagi memastikan ia selari dengan keperluan sebenar pasaran kerja.
Penekanan terhadap kandungan kurikulum atau silibus TVET yang relevan, berorientasikan kemahiran dan berpaksikan realiti tempat kerja merupakan teras utama pelaksanaan TVET negara hari ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Datuk Dr Mohd Shatar Sabran, setiap program berteraskan TVET yang ingin ditawarkan oleh mana-mana IPT mesti mematuhi Code of Practice for Programme Accreditation (COPPA) dan garis panduan amalan terbaik yang dikenali sebagai COPPTA (Code of Practice for TVET Programmes Accreditation).

“COPPTA dibangunkan khusus untuk memastikan kandungan silibus program TVET tidak ditentukan secara akademik semata-mata. Sebaliknya, ia digubal secara bersama antara ahli akademik dan wakil industri melalui bengkel dan rundingan teknikal.
“Ini penting kerana apa gunanya program TVET jika silibus tidak mencerminkan kehendak semasa industri? Kita mahu pastikan graduan keluar dengan kemahiran yang ‘siap diguna’ atau ready to deploy, bukan sekadar memenuhi kredit akademik,” katanya kepada Wilayahku.
Mohd Shatar menegaskan pelaksanaan TVET yang berkesan memerlukan silibus yang sentiasa dikemas kini berdasarkan perkembangan teknologi, keperluan tenaga kerja semasa serta input berkala daripada majikan dan badan industri profesional.
Katanya setiap komponen silibus perlu menjawab persoalan adakah ia memenuhi kehendak semasa industri?; adakah pelajar berpeluang mengalami latihan langsung (hands-on)?; dan adakah kemahiran yang diajar boleh terus digunakan selepas tamat pengajian?
“MQA mewajibkan penglibatan industri dalam pembangunan silibus sebagai prasyarat utama kelulusan program. Setiap kursus TVET mesti membentangkan bukti input industri, sama ada melalui panel penasihat industri, MoU dengan syarikat, atau keperluan latihan industri secara wajib,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa langkah ini bukan sekadar formaliti, malah menjadi asas bagaimana sesuatu program itu diluluskan, dinilai dan diperbaharui secara berkala.
Malah jelas beliau pendekatan ‘dual-system’ yang menggabungkan teori dan praktikal di tempat kerja turut digalakkan melalui kerjasama Work-Based Learning (WBL) antara IPT dan sektor swasta.
Beliau berkata walaupun TVET masih diselubungi persepsi negatif dalam kalangan masyarakat sebagai laluan akademik ‘kelas kedua’, realitinya amat berbeza hari ini.
“Masyarakat perlu ubah cara pandang mereka. Kita bukan lagi dalam era 30 tahun lalu. Hari ini, graduan TVET di Malaysia mencatat kadar kebolehpasaran kerja melebihi 90 peratus, malah menurusi data MQA, ada institusi TVET yang mencapai kebolehpasaran sehingga 98 peratus selain memperoleh pendapatan awal yang kompetitif,” katanya.
Beliau berkata antara institusi yang mencatat kebolehpasaran tinggi ialah politeknik, kolej komuniti dan universiti teknikal selain menerusi laporan MQA, majikan kini lebih mengutamakan kemahiran sebenar dan pengalaman praktikal berbanding pencapaian akademik semata-mata.
“Syarikat memerlukan tenaga kerja yang boleh terus menyumbang pada hari pertama bekerja. TVET menjawab keperluan itu melalui silibus yang berfokus kepada latihan praktikal dan kemahiran langsung,” tambahnya.
Dalam usaha memperluas akses kepada TVET, pihaknya turut memperkenalkan laluan Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) yang memberi peluang kepada individu yang mempunyai pengalaman kerja, tetapi tidak memiliki kelayakan formal, untuk menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi.
Tiga bentuk APEL yang ditawarkan ialah APEL A iaitu laluan kemasukan ke universiti menggunakan pengalaman kerja, APEL C yang membolehkan pemindahan kredit berdasarkan pengalaman kerja, dan APEL Q yang memberi pengiktirafan terus kepada kelayakan akademik (contohnya Diploma, Ijazah, Sarjana dan PhD) berdasarkan jumlah tahun pengalaman.
“Melalui APEL Q, seseorang yang bekerja 10 tahun dalam bidang teknikal boleh memperoleh Diploma tanpa perlu duduk di dalam kelas selama dua tahun. Ini pengiktirafan realistik terhadap ilmu dan kemahiran yang diperoleh melalui pengalaman sebenar,” katanya.
Tambah beliau inisiatif ini diperluas melalui kerjasama KPT dan MINDEF, yang memperkenalkan WBL 2.0 dengan memberi pengiktirafan akademik kepada anggota tentera atas modul latihan teknikal yang telah diikuti sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Beliau menegaskan bahawa MQA sentiasa menyokong aspirasi kerajaan untuk menjadikan TVET sebagai aliran utama yang menyumbang kepada pembangunan negara, selaras dengan peranan MQA dalam Majlis TVET Negara.
“TVET bukan sekadar pendidikan alternatif. Ia adalah tunjang pembangunan modal insan negara dalam bidang strategik seperti teknologi, tenaga, automasi, pertanian moden dan ekonomi hijau.
“Silibus yang tepat, kerjasama industri yang mantap dan sistem jaminan kualiti yang teguh akan menjadikan Malaysia antara peneraju TVET di rantau ini. Dan MQA komited untuk memastikan perkara ini menjadi realiti,” katanya. – WILAYAHKU