Berita

Strategi kepelbagaian pasaran beri kelebihan ekonomi

KURIKULUM pendidikan tinggi perlu disusun semula berorientasikan kemahiran masa depan.
- Diterbit 16 Jun 2025 6:27 PM MYT

JANGKAAN pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kekal positif bagi setiap suku tahun serta imbangan dagangan dan akaun semasa yang masih berada pada paras sihat merupakan indikator utama kestabilan ekonomi negara ketika ini.

Menurut Pengarah Program MBA di Putra Business School, Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, meskipun keadaan global kekal mencabar, Malaysia perlu terus memanfaatkan kekuatan sedia ada bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam tempoh sederhana dan panjang.

AHMED RAZMAN

“Malaysia kini berada di landasan yang baik apabila mencatat pertumbuhan KDNK suku tahunan yang stabil. Namun, negara tidak boleh selesa. Fokus perlu diberikan kepada jaminan ketahanan ekonomi jangka panjang menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan dibentangkan tidak lama lagi,” katanya kepada Wilayahku.

Mengulas hala tuju perdagangan, Ahmed Razman berkata Malaysia wajar memperluas jalinan ekonomi menerusi lebih banyak perjanjian perdagangan bilateral, terutama dengan negara-negara yang berpotensi menjadi rakan dagang strategik.

“Kita perlu agresif dalam mencari rakan dagang baharu yang boleh menyumbang kepada keseimbangan pasaran eksport dan import. Ini penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional,” katanya.

Tambah beliau dengan landskap geopolitik yang semakin kompleks serta perubahan ketara dalam rantaian bekalan global, Malaysia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada negara atau pasaran tertentu.

Katanya strategi kepelbagaian pasaran akan memberi kelebihan daya saing, sekali gus membuka peluang baharu kepada pelabur dan pengeksport tempatan.

Dalam pada itu, beliau menekankan cabaran utama negara ketika ini adalah kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan sederhana yang diperlukan industri, sejajar dengan perkembangan teknologi dan automasi.

“Isu ini perlu ditangani secara menyeluruh melalui kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta agar tenaga kerja negara benar-benar bersedia menyahut permintaan industri masa depan,” katanya.

Ahmed Razman turut menggesa agar kurikulum pendidikan tinggi disusun semula agar lebih berorientasikan kemahiran masa depan (future skills) seperti kecerdasan buatan, sains data, kejuruteraan hijau dan teknologi pembuatan pintar.

Beliau percaya langkah ini mampu mengurangkan ketidaksepadanan antara graduan dan kehendak pasaran kerja, sekali gus menambah baik kadar guna tenaga negara.

Menyentuh peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Ahmed Razman mencadangkan agar negara memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama serantau, khususnya dalam memacu pertumbuhan ekonomi bersama negara-negara anggota dan blok ekonomi lain.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia perlu menjadi pemudah cara kepada lebih banyak hubungan ekonomi antara rantau ini dan kuasa ekonomi dunia, sekali gus membuka ruang pasaran lebih luas untuk usahawan tempatan,” katanya.

Beliau berkata Malaysia wajar menggunakan kedudukan strategik ini untuk merintis inisiatif seperti perjanjian dagangan serantau yang lebih inklusif, pengharmonian piawaian teknikal serta memperkukuh jaringan pelaburan intra-ASEAN, khususnya dalam bidang seperti tenaga boleh diperbaharui, digitalisasi dan sekuriti makanan.

Beliau turut menyarankan agar segala inisiatif perdagangan, pembangunan modal insan dan perancangan fiskal diharmonikan di bawah RMK13, demi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan menyeluruh.

RMK13 jelasnya perlu dilihat sebagai pelan hala tuju nasional yang tidak hanya bertujuan meningkatkan angka pertumbuhan semata-mata, tetapi turut merangkumi aspek daya tahan fiskal, kesejahteraan rakyat dan keseimbangan pembangunan wilayah.

Tambah beliau dengan memberi penekanan kepada prinsip inklusiviti dan kelestarian, Malaysia mampu membina asas ekonomi yang lebih kukuh untuk menghadapi sebarang ketidaktentuan global pada masa hadapan. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas