PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengecam sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan Israel yang melancarkan serangan ke atas Iran termasuk serangan bersasar yang meragut nyawa beberapa pemimpin kanan republik itu.
Perdana Menteri turut menyifatkan tindakan Israel sebagai amat berbahaya dan tidak bertanggungjawab, serta mampu mencetuskan ketegangan besar yang mengancam kestabilan serantau dan keselamatan global.
“Ini adalah tindakan yang melulu dan sangat membimbangkan. Ia jelas bertujuan menggagalkan rundingan diplomatik antara Amerika Syarikat dan Iran, dan berlaku pada waktu dunia semakin memberi perhatian terhadap kekejaman Israel di Gaza serta tekanan politik yang memuncak ke atas Benjamin Netanyahu,” katanya dalam siaran di Facebook hari ini.
Beliau turut menyeru rakan-rakan sekutu Israel, khususnya negara-negara berpengaruh agar menggunakan kuasa dan pengaruh mereka untuk menekan Tel Aviv menghentikan sebarang bentuk pencerobohan lanjut.
“Komuniti antarabangsa tidak boleh membenarkan tindakan yang mengkhianati usaha diplomasi dan menggugat keamanan global diteruskan tanpa sebarang tindakan balas,” tegas beliau.
Tindakan ketenteraan Israel ke atas wilayah Iran dilaporkan berlaku awal minggu pagi ini membabitkan serangan udara yang menyasarkan fasiliti strategik dan tokoh penting keselamatan Iran. Serangan itu dipercayai sebagai tindak balas kepada serangan drone Iran ke atas sasaran Israel sebelum ini.
Insiden ini berlaku dalam suasana tegang di Timur Tengah susulan perang yang berlarutan di Gaza sejak Oktober tahun lalu, yang telah menyaksikan lebih 35,000 rakyat Palestin terbunuh, majoritinya wanita dan kanak-kanak.
Pemerhati antarabangsa memberi amaran bahawa serangan ke atas Iran boleh mencetuskan konflik lebih besar melibatkan proksi serantau, termasuk Hizbullah di Lubnan dan militan Houthi di Yaman, serta merosakkan sebarang prospek perdamaian jangka pendek.
Malaysia sebelum ini kekal konsisten dalam pendirian menolak pencerobohan, menyokong penyelesaian dua negara untuk Palestin dan menyeru semua pihak agar kembali ke meja rundingan.
“Keganasan bukan jawapan. Hanya keadilan, dialog dan penyelesaian adil mampu membawa keamanan sebenar di rantau itu,” kata Anwar.-WILAYAHKU