SEBANYAK 33 kompaun telah dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Operasi Penguatkuasaan Anti-Litter yang dijalankan secara menyeluruh di sekitar Taman Sri Sinar, baru-baru ini.
Operasi itu antara lain mendapati peniaga masih berdegil melakukan pelbagai kesalahan termasuk meletakkan barang perniagaan di tempat awam tanpa kebenaran, membuang sampah sesuka hati di tempat terbuka dan longkang, selain menghalang saliran air dengan sisa serta barangan perniagaan.
Menerusi hantaran di Facebook, DUKE memaklumkan operasi ini dilaksanakan bagi mendidik serta mengambil tindakan tegas terhadap individu dan peniaga yang mengabaikan tanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran, khususnya di kawasan perniagaan.
“Tindakan turut diambil ke atas peniaga yang menyebabkan halangan di laluan pejalan kaki, sama ada di bahagian hadapan mahupun belakang premis,” jelas DBKL.
Operasi yang dijalankan secara berkala ini juga bertujuan menyemai nilai sivik dan kesedaran terhadap kepentingan persekitaran yang bersih, selesa dan selamat bagi masyarakat setempat serta pelawat asing yang berkunjung ke ibu kota.
DBKL turut menyeru semua peniaga agar lebih bertanggungjawab dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menjaga imej Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya bertaraf dunia yang bersih dan tersusun.-WILAYAHKU