KERAJAAN bersetuju dengan syor Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk melaksanakan pindaan ke atas Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021 yang telah berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini sebagai langkah menyemak semula had pemilikan dan penggunaan Gas Petroleum Cecair (LPG) melebihi 42 kilogram yang sebelum ini memerlukan Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).
Katanya, pindaan yang dicadangkan bertujuan mengambil kira keperluan sebenar peniaga makanan dan minuman berskala mikro dan kecil secara bersasar serta memperjelas undang-undang sedia ada untuk memastikan keberkesanan pematuhan dan penguatkuasaan.
“Jemaah Menteri juga bersetuju supaya proses semakan dan pindaan ini diselaras oleh Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KPDN, dengan penglibatan kementerian dan agensi berkaitan serta input daripada pelbagai pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan turut memperakukan supaya sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Gasak dan sehingga pindaan dimuktamadkan bahawa tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap peniaga mikro dan kecil sektor makanan dan minuman yang menggunakan silinder LPG bersubsidi bagi keperluan premis perniagaan mereka sendiri.
“Golongan tersebut dibenarkan mendapatkan bekalan LPG bersubsidi tanpa perlu memiliki PBKB.
“Ops Gasak yang dilaksanakan ketika ini akan diteruskan dengan fokus membanteras aktiviti ketirisan melibatkan perbuatan haram seperti decanting dan penyalahgunaan bekalan LPG bersubsidi oleh pihak industri, tambah beliau.- WILAYAHKU