SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menyita bangunan Menara Ilham yang terletak di No. 8 Jalan Binjai, Kuala Lumpur.
Menurut SPRM, ia berdasarkan Notis Penyitaan Harta Tak Alih mengikut Seksyen 51(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) bertarikh 4 Jun 2025.
“Menerusi notis ini, kebenaran sitaan ini dibuat berdasarkan kuasa yang diberikan kepada Pendakwa Raya mengikut Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) di mana Timbalan Pendakwa Raya berpuas hati dengan maklumat diberikan oleh Pegawai SPRM bahawa ia berkait dengan suatu kesalahan di bawah Subseksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001,” jelasnya dalam kenyataan pada Khamis.
SPRM menambah, sehubungan itu adalah diperintahkan bangunan Menara Ilham disita dan segala urusan berhubung pindah milik harta tidak alih berkenaan kini adalah dilarang.
“Kegagalan untuk mematuhi notis ini merupakan suatu kesalahan di bawah AMLATFPUAA 2001,” tegasnya.
Pada Disember 2023, SPRM bertindak melakukan perkara sama melibatkan bangunan Menara Ilham.
Sitaan dibuat untuk siasatan di bawah Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU