KEMENTERIAN Komunikasi hari ini menafikan dakwaan bahawa pembatalan konsert “(G)I-DLE & BamBam Live in Malaysia” yang dijadualkan berlangsung pada 14 Jun 2025 adalah berpunca daripada penolakan kelulusan oleh Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, kementerian menjelaskan bahawa kelulusan pra-permohonan bagi penganjuran konsert berkenaan telah diperoleh pada 28 April 2025, sekali gus menolak laporan akhbar yang menyatakan konsert dibatalkan kerana tidak mendapat kelulusan JK-PUSPAL pada 1 Jun lalu.
JK-PUSPAL menegaskan, dakwaan sedemikian adalah tidak benar sama sekali dan boleh mengelirukan orang awam. Menurut kenyataan itu, keputusan pembatalan konsert dibuat oleh pihak penganjur sendiri atas pertimbangan dalaman selepas mengambil kira pelbagai justifikasi dan kepentingan.
“Sebagai penganjur, mereka bertanggungjawab memastikan semua aspek persediaan termasuk kelulusan berkaitan diperoleh sebelum menganjurkan sebarang acara membabitkan artis antarabangsa terkenal,” jelas kenyataan itu lagi.
Kementerian turut mengingatkan bahawa pihak penganjur perlu sentiasa merujuk Garis Panduan PUSPAL (GPP) bagi memastikan pematuhan terhadap semua keperluan yang ditetapkan.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai GPP boleh melayari laman portal rasmi https://portalpuspal.komunikasi.gov.my/garis-panduan-2/ atau menghubungi PUSPAL di talian 03-89115356/5384 atau e-mel ke [email protected]