Berita

ASEAN desak gencatan senjata di Myanmar, komited sokong penyelesaian

- Diterbit 27 Mei 2025 6:00 PM MYT

PEMIMPIN ASEAN hari ini menggesa peluasan dan lanjutan gencatan senjata secara menyeluruh di Myanmar sebagai langkah awal ke arah penghentian keganasan serta pembentukan dialog nasional yang inklusif, dimiliki dan dikendalikan oleh rakyat Myanmar sendiri.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan susulan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan konflik dan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di negara itu, terutama selepas gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter melanda Myanmar Tengah pada 28 Mac lalu.

“Kami menyeru semua pihak agar segera menghentikan sebarang bentuk keganasan terhadap orang awam dan kemudahan awam.

“Hentikan serangan sewenang-wenangnya, tolak sebarang bentuk eskalasi, dan pastikan keselamatan serta perlindungan kepada semua warga Myanmar,” tegas kenyataan itu.

Para pemimpin turut menghargai pengumuman tiga kali gencatan senjata sementara oleh pihak berkuasa di Myanmar serta gencatan senjata unilateral oleh pihak-pihak berkepentingan serta menyokong usaha memperluasnya ke seluruh negara secara berterusan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan dengan selamat dan efektif.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa Konsensus Lima Perkara terus menjadi rujukan utama ASEAN dalam menangani krisis politik Myanmar, yang bertujuan memulihkan keamanan, kestabilan dan demokrasi melalui penyelesaian politik milik rakyat Myanmar sendiri.

ASEAN juga menyeru agar semua pihak terbabit memastikan penyampaian bantuan kemanusiaan dilakukan dengan selamat, cekap dan telus tanpa diskriminasi, berdasarkan penilaian keperluan segera oleh Pasukan ASEAN-ERAT dan Pusat AHA.

Dalam usaha memperkukuh kepercayaan ke arah dialog nasional inklusif, ASEAN menyatakan sokongan berterusan terhadap peranan Pengerusi ASEAN dan Utusan Khas dalam melaksanakan sepenuhnya Konsensus Lima Perkara.

“Kami mengalu-alukan sokongan berterusan komuniti antarabangsa, terutamanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dalam usaha ASEAN membantu rakyat Myanmar mencapai penyelesaian aman yang berkekalan dan inklusif,” tambah kenyataan itu.

Pemimpin ASEAN menzahirkan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dengan negara-negara jiran Myanmar, rakan luar ASEAN dan PBB bagi menangani kesan lebih meluas krisis tersebut, termasuk peningkatan jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia dan penipuan dalam talian.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas