Berita

KDN haramkan tujuh buku jejas moral dan ketenteraman awam

- Diterbit 27 Mei 2025 4:30 PM MYT

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mengambil langkah tegas dengan mewartakan Perintah Larangan terhadap tujuh judul penerbitan yang didapati mengandungi kandungan berunsur lucah, menyimpang serta berpotensi menggugat ketenteraman awam dan kemoralan masyarakat.

Menurut kenyataan KDN, larangan ini dibuat di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301], melibatkan bahan-bahan yang dipercayai mengandungi unsur yang tidak sesuai untuk bacaan umum, termasuk elemen seksual eksplisit, ideologi menyimpang dan naratif yang boleh mengganggu keharmonian sosial.

“Tujuh buku yang dikenakan larangan tersebut ialah Love, Theoretically oleh Ali Hazelwood; Tuan Ziyad: Forbidden Love oleh Bellesa; Darlingku Mr. Cold Mafia oleh Nur Firsha Nadia binti Mohd Noor Kusairi (ShaDhia); Mischievous Killer oleh Aira Syuhairah Noradzan (Ariaseva); Suhuf Abraham (tiada pengarang dinyatakan); Kougar 2 oleh Shaz Johar; dan The American Roommate Experiment oleh Elena Armas.

” Larangan ini diwartakan secara berperingkat bermula 15 hingga 17 April 2025 di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301], selepas penilaian mendapati kandungan buku-buku tersebut mungkin memudaratkan dari segi moral dan kestabilan sosial.

“Perintah Larangan ini adalah langkah pencegahan penting bagi menyekat penyebaran bahan yang tidak sesuai untuk bacaan umum, terutama dalam kalangan remaja dan masyarakat umum. Ia sejajar dengan komitmen kerajaan untuk memelihara nilai murni dan keharmonian negara,” tegas KDN

Ujarnya, di bawah undang-undang ini, mana-mana individu yang mencetak, menerbit, mengedar atau memiliki mana-mana hasil penerbitan yang diharamkan boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

KDN menyeru masyarakat agar lebih peka terhadap bahan bacaan yang dimiliki serta sentiasa merujuk kepada portal rasmi KDN atau laman Perundangan Persekutuan bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan senarai bahan yang diwartakan larangan.

KDN turut mengingatkan bahawa senarai penuh bahan penerbitan yang diharamkan boleh disemak melalui portal rasmi Kementerian Dalam Negeri atau laman web Perundangan Persekutuan Malaysia.

“Kerajaan komited untuk memastikan segala bentuk penerbitan di Malaysia tidak menggugat nilai murni masyarakat serta keharmonian negara,” tegasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin mendapatkan penjelasan lanjut disaran menghubungi Unit Komunikasi Korporat KDN atau melayari laman rasmi kementerian.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas