TIMBALAN Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, mewakili Kementerian Kerja Raya (KKR)membuat cabutan undi bagi memilih kontraktor Bumiputera G1-G4 yang layak untuk melaksanakan 111 kerja penyenggaraan jalan berkala pavamen dan 172 kerja berkala bukan pavamen.
Projek bernilai RM182.396 juta bagi Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia Zon Tengah dan Timur Tahun 2025 itu melibatkan negeri Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Kerja penyelenggaraan di empat negeri itu adalah melalui Syarikat Roadcare (M) Sdn. Bhd. yang dilantik sebagai syarikat konsesi yang bertanggungjawab untuk menyelenggara Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia Zon Tengah dan Timur meliputi negeri Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Pelantikan kontraktor secara cabutan undi adalah adil dan telus, dikhususkan kepada Kontraktor Bumiputera Gred G1 – G4 yang layak dari segi rekod prestasi kerja serta mempunyai pendaftaran lesen yang masih sah dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), mempunyai Sijil Taraf Bumiputera (STB), dan berdaftar mengikut had nilai kerja yang disenaraikan.
“Cabutan Undi ini adalah sebahagian usaha Kerajaan MADANI melalui enam teras utamanya dalam membangun dan melibatkan lebih banyak kontraktor bumiputera G1-G4 dalam kerja-kerja penyenggaraan jalan raya agar jalan raya di Malaysia terutamanya jalan persekutuan sentiasa berkualiti, mampan, selamat dan selesa,” ujar Ahmad Maslan.
Skop kerja penyenggaraan berkala pavemen adalah seperti mill & pave, Cold In-Place Recycling (CIPR), overlay, dan re-construction manakala kerja penyenggaraan berkala bukan pavemen meliputi kerja mengecat semula garisan jalan, menyenggara dan membaikpulih papan tanda, membina roadkerb, dan menaiktaraf longkang dan lain-lain kerja berkaitan.
Tender untuk kerja-kerja ini dibuat secara pendigitalan di mana telah diiklankan melalui media sosial dan pendaftaran telah dilakukan secara atas talian (online) di portal syarikat Roadcare Sdn. Bhd.
Sebanyak 7,111 kontraktor telah disenarai-pendek, cabutan undi akan dikelolakan Jawatankuasa Cabutan Undi (JCU) yang terdiri daripada pegawai syarikat konsesi dan juga wakil kerajaan.
Menurut Ahmad Maslan, KKR tidak akan berkompromi isu kualiti kerja pembinaan dan penyenggaraan dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya sentiasa diutamakan selaras dengan aspirasi Program MYJalan KKR.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri dan Daerah bersama Syarikat Roadcare (M) Sdn. Bhd. akan memantau secara rapi dan menilai semua pelaksanaan kerja penyenggaraan dan prestasi kontraktor terutama kualiti dan jadual kerja menepati spesifikasi kontrak.
“Penilaian tersebut akan dijadikan asas sama ada kontraktor berkenaan layak untuk dipertimbangkan lagi dalam proses pemberian kontrak kerja penyenggaraan jalan raya di masa hadapan.
“KKR berharap agar semua kontraktor yang terpilih melalui cabutan undi hari ini akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada aspek mutu kualiti terutama dari segi mengikuti spesifikasi standard yang ditetapkan, kos dan masa, serta mengutamakan keselamatan di kawasan kerja.,” katanya-WILAYAHKU