GABUNGAN ekonomi antara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN yang kini bernilai lebih USD6 trilion dengan populasi seramai 740 juta penduduk dilihat sebagai kuasa baharu yang mampu merintis keseimbangan ekonomi dan kestabilan strategik dunia.
Wakil Amir Kuwait, Sheikh Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, berkata kekuatan gabungan ini tidak hanya terletak pada angka dan geografi, tetapi juga pada kesediaan kedua-dua rantau untuk berganding bahu menghadapi cabaran global dan membentuk kerjasama rentas benua yang mampan.
“Gabungan antara GCC dan ASEAN kini bukan sekadar blok serantau, tetapi pemacu utama kestabilan dan pertumbuhan ekonomi dunia. Kita memiliki jaringan perdagangan strategik, laluan maritim penting, dan sumber manusia yang kukuh, ini adalah kekuatan sebenar kita,” katanya dalam ucapan pembukaan Sidang Kemuncak Kedua GCC-ASEAN di Kuala Lumpur, hari ini.
Sidang ini, menurut beliau, adalah kesinambungan kepada Sidang Riyadh 2023 yang menjadi titik mula kerjasama tersusun antara kedua-dua blok.
“Ia kini diperkuatkan menerusi “Rangka Kerja Kerjasama Strategik GCC-ASEAN 2024–2028” sebagai pelan hala tuju lima tahun yang menggariskan agenda kerjasama lebih luas dan mendalam.
“Daripada keselamatan ke ekonomi, budaya hingga kemanusiaan kita kini berada pada landasan kukuh untuk melonjakkan kerjasama pelbagai dimensi,” ujarnya.
Menurut beliau, GCC merupakan rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai USD130.7 bilion pada tahun 2023 dan dijangka melonjak kepada USD180 bilion menjelang 2032.
“Kita perlu segera menstruktur semula pendekatan perdagangan dan pelaburan menerusi perjanjian dagangan bebas dan rantaian bekalan strategik. Potensi kita besar dan belum dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Dalam sektor tenaga, GCC menyatakan kesediaan berkongsi kepakaran dalam teknologi rendah karbon, hidrogen hijau dan tenaga boleh diperbaharui serta menyokong aspirasi global di bawah Perjanjian Paris.
GCC juga menegaskan komitmen terhadap prinsip saling menghormati, tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara dan menggalakkan dialog terbuka bagi menangani isu keselamatan serantau, termasuk keganasan dan jenayah rentas sempadan.
Untuk memperkasa hubungan kemanusiaan dan budaya, beliau mencadangkan tahun 2026 diisytiharkan sebagai Tahun Perpaduan Budaya GCC-ASEAN, merangkumi program pertukaran budaya, Hari ASEAN di negara GCC, serta Hari Budaya GCC di negara ASEAN.
“Kita perlu jadikan budaya sebagai pemangkin perpaduan, dan pada masa sama, memperkasa golongan belia dan wanita melalui latihan, kemahiran serta keusahawanan,” tambahnya.
Beliau turut menyuarakan keprihatinan terhadap krisis kemanusiaan di Gaza dan menegaskan sokongan penuh terhadap penubuhan negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. Beliau juga menyambut baik perkembangan positif di Syria dan menyokong usaha menjamin keselamatan dan kestabilannya.
Bagi memastikan impak yang nyata, beliau mencadangkan penubuhan satu mekanisme pemantauan bersama di bawah Sekretariat GCC dan ASEAN, dengan laporan berkala bagi menilai pelaksanaan inisiatif yang disepakati.
Beliau menjemput ASEAN menyertai EXPO 2030 Riyadh sebagai platform mempamerkan model kerjasama global yang inklusif dan mampan, sambil menyuarakan harapan agar sidang ini menjadi batu loncatan kepada masa depan yang lebih sejahtera untuk kedua-dua rantau.-WILAYAHKU