Berita

Gabungan USD6 Trilion: ASEAN-GCC pemacu pertumbuhan baharu dunia – PM Anwar

- Diterbit 27 Mei 2025 1:00 PM MYT

GABUNGAN ekonomi ASEAN-GCC yang mencecah lebih USD6 trilion dengan jumlah populasi seramai 740 juta penduduk kini muncul sebagai pemacu baharu kestabilan serantau dan pertumbuhan ekonomi global, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam ucapan pembukaan Sidang Kemuncak Kedua ASEAN-GCC di Kuala Lumpur hari ini, beliau menegaskan pentingnya memperkukuh hubungan strategik antara dua blok serantau itu dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan cabaran geopolitik semasa.

“Perkongsian ASEAN-GCC tidak pernah sepenting hari ini. Dalam dunia yang semakin kompleks, gabungan ini menjadi kunci kepada kerjasama antara wilayah, pembinaan daya tahan, dan jaminan kemakmuran mampan untuk rakyat kita,” katanya ketika merasmikan sidang kemuncak tersebut.

Anwar berkata, kehadiran para pemimpin tinggi dari kedua-dua rantau merupakan bukti komitmen kolektif dalam memperkukuh hubungan dua hala yang dibina sejak Sidang Riyadh pada 2023, yang menjadi asas kepada Rangka Kerja Kerjasama ASEAN-GCC 2024–2028.

“Malaysia amat berbesar hati menjadi tuan rumah dan rakan penganjur sidang ini. Ia memberi peluang untuk kita menggerakkan kerjasama yang lebih luas dan bermakna,” katanya.

Menurut beliau, pelan tindakan yang telah dipersetujui menyediakan pelantar kukuh untuk memperluas kerjasama dalam tiga tonggak utama: politik dan keselamatan, ekonomi dan pelaburan, serta sosiobudaya dan pembangunan mampan.

Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa peningkatan pelaburan dari negara GCC adalah isyarat jelas keyakinan jangka panjang terhadap prospek kerjasama tersebut selain telah mencatatkan GCC telah menjadi rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak USD130.7 bilion pada tahun 2023.

Beliau berkata, ASEAN dan GCC mempunyai potensi dan tanggungjawab untuk bangkit sebagai sauh kestabilan dan enjin pertumbuhan masa depan. Justeru, Perdana Menteri menyeru agar sidang ini dijadikan medan untuk memperkukuh iltizam bersama serta menterjemahkan visi kolektif kepada tindakan nyata dan hasil konkrit.

“Marilah kita jadikan sidang hari ini sebagai landasan untuk menjadikan perkongsian ASEAN-GCC lebih dinamik, tangkas dan berimpak,” katanya.

Sidang kemuncak ini turut menyaksikan pembentangan oleh Presiden sesi semasa Majlis Tertinggi GCC, Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah, sebelum ia diteruskan secara tertutup untuk perbincangan strategik antara ketua-ketua negara.

Perdana Menteri turut menzahirkan harapan agar sidang ini akan mencetuskan inisiatif-inisiatif baharu yang mampu melonjakkan kerjasama antara ASEAN dan GCC ke tahap lebih tinggi dalam mendepani cabaran abad ke-21.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas