Berita

ASEAN 2045: Malaysia pacu kerjasama serantau lebih inklusif dan berdaya tahan

- Diterbit 27 Mei 2025 9:00 AM MYT

MALAYSIA terus memperkukuh peranannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan mencorak masa depan rantau ini menerusi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang menyaksikan pemeteraian bersejarah Kuala Lumpur Declaration on ASEAN 2045: Our Shared Future.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, deklarasi yang dimeterai semalam bukan sekadar dokumen strategik, tetapi manifestasi tekad kolektif ASEAN untuk melangkah lebih jauh sebagai komuniti berpaksikan rakyat, inovatif dan berdaya saing menjelang tahun 2045.

“Deklarasi Kuala Lumpur merupakan pelan jangka panjang yang menggariskan lebih 500 langkah strategik melibatkan tiga tunjang utama komuniti ASEAN iaitu politik dan keselamatan, ekonomi serta sosio-budaya. Malaysia tampil sebagai pemacu utama visi ini bagi memastikan masa depan ASEAN lebih mampan dan inklusif,” ujar beliau dalam taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri pada Selasa (27 Mei).

Tunku Nashrul menjelaskan antara intipati utama ASEAN 2045 termasuklah pengukuhan integrasi ekonomi serantau sebagai pasaran tunggal yang pintar dan bersambung; pembangunan komuniti inklusif dengan tumpuan kepada pendidikan, kesihatan dan pekerjaan; serta pengukuhan kedudukan ASEAN dalam arena antarabangsa melalui prinsip keamanan dan multilateralisme.

Sidang hari pertama turut menyaksikan sesi libat urus bersama Perwakilan Parlimen ASEAN (AIPA), wakil belia dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC). Ini membuktikan keterbukaan Malaysia untuk mendengar pandangan pelbagai lapisan masyarakat dalam membentuk dasar serantau.

Selain itu, beberapa mesyuarat dua hala berlangsung termasuk dengan China, Kuwait, Kemboja dan Singapura, antaranya melibatkan pertukaran perjanjian Renewables and Interconnected Sustainable Energy (RISE) serta rundingan lanjut berkaitan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-GCC.

Beliau berkata hari kedua sidang hari ini akan menumpukan kepada pengukuhan kerjasama bersama rakan strategik melalui Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Trilateral ASEAN-GCC-China yang pertama kali diadakan. Turut berlangsung ialah Sidang Kemuncak BIMP-EAGA ke-16 dan IMT-GT ke-16 bagi merancakkan pembangunan sub-rantau.

Tunku Nashrul menegaskan bahawa Malaysia komited untuk memastikan segala keputusan sidang membawa manfaat langsung kepada rakyat.

“Kita bukan sahaja mahu memimpin ASEAN dari segi idea, tetapi juga dari segi pelaksanaan. Inilah semangat Malaysia MADANI yang dibawa ke peringkat serantau,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas