Berita

PM dijadual tandatangan Deklarasi Kuala Lumpur ASEAN 2045, pertemuan trilateral dengan GCC dan China diperkenal

- Diterbit 26 Mei 2025 2:30 PM MYT

MALAYSIA selaku Pengerusi ASEAN 2025, membuka tirai Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 hari ini dengan menampilkan komitmen kukuh untuk memperkukuh integrasi serantau dan memperjuangkan pendekatan berpaksikan rakyat dalam pembangunan Komuniti ASEAN.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, penganjuran sidang ini membuktikan kesiapsiagaan Malaysia memimpin ASEAN dalam menghadapi cabaran global termasuk ketegangan geopolitik, krisis kemanusiaan dan cabaran ekonomi digital.

“Tema keterangkuman dan kemampanan yang dibawa Malaysia bukan sekadar retorik, ia adalah ikrar kepada pembangunan yang lebih adil, stabil dan lestari bagi seluruh rantau,” katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri pagi ini.

Sidang yang berlangsung di Kuala Lumpur itu turut memperkenalkan dua sidang kemuncak penting iaitu ASEAN-GCC ke-2 serta inisiatif baharu ASEAN-GCC-China yang akan berlangsung pada 27 Mei. Kedua-duanya diketuai Malaysia sebagai pengerusi ASEAN.

Menurut Tunku Nashrul, Malaysia akan mengetuai perbincangan bersejarah antara ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) melibatkan nilai dagangan dua hala sebanyak USD130.7 bilion dan pelaburan GCC ke ASEAN berjumlah USD390.2 juta.

“Inisiatif sidang trilateral ASEAN-GCC-China pula menandakan langkah strategik Malaysia dalam menyatukan kekuatan tiga kuasa ekonomi, ASEAN, GCC dan China yang secara kolektif melibatkan KDNK hampir USD25 trilion dan populasi lebih dua bilion orang,” katanya.

Antara agenda penting pada hari pertama termasuk sesi plenari dan retreat bersama pemimpin ASEAN, sesi libat urus dengan AIPA, wakil belia dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC), serta Majlis Menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 oleh Perdana Menteri.

Tunku Nashrul berkata, pelaksanaan Wawasan ASEAN 2045 yang bakal dilancarkan akan menjadi panduan jangka panjang ke arah membina ASEAN yang lebih responsif, mampan dan berdaya tahan.

“Sebagai tuan rumah, Malaysia turut menerima manfaat langsung dari sidang ini termasuk limpahan ekonomi dalam sektor pelancongan, perhotelan dan peluang perniagaan bagi perusahaan kecil dan sederhana tempatan,” katanya.

Beberapa pertemuan dua hala turut dijadual berlangsung hari ini antara Perdana Menteri dan pemimpin dari Singapura, China, Kemboja dan Kuwait.

Sidang petang nanti akan merumuskan pencapaian awal persidangan dan hasil rundingan dua hala.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas